Isu Azam Baki : 6 ahli LPPR cuba jauhkan diri dari pandangan Pengerusi

Oleh MHDAILY

Isu Azam Baki : 6 ahli LPPR cuba jauhkan diri dari pandangan Pengerusi. Enam ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjauhkan diri daripada keputusan pengerusinya untuk membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada sebarang salah laku dalam isu pemilikan saham korporat.

Mereka berkata, komen Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang adalah pandangan peribadi beliau sepenuhnya.

“Kami ingin menyatakan bahawa ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak menyatakan pendapat seperti yang dikaitkan Abu Zahar,” kata mereka dalam kenyataan.

Menurut mereka, sebelum sidang media pada Rabu, mereka mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk lebih lanjut kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, pandangan dan cadangan mereka tidak dibangkitkan Abu Zahar pada sidang media tersebut, kata mereka.

“LPPR tiada kuasa menyiasat kerana ia ditubuhkan hanya sebagai lembaga penasihat.

“Kami perlu memberikan penjelasan ini bagi menjaga integriti lembaga dan institusi,” kata mereka.

Enam ahli lembaga yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Akhbar Satar, Ismail Omar, Azman Ujang, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Menurut Abu Zahar pada sidang media itu, LPPR telah membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku, dengan berkata, pembelian saham oleh adiknya tidak menimbulkan konflik kepentingan.

Azam juga dilaporkan berkata, pihak atasannya telah dimaklumkan apabila beliau membenarkan adiknya, Nasir, membeli saham menggunakan akaun dagangannya pada 2015, ketika beliau mengetuai bahagian siasatan SPRM.

Pengumuman itu menimbulkan kemarahan beberapa pihak, yang membangkitkan soal ketiadaan kebebasan dalam proses inkuiri.

Antaranya adalah Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel yang berkata, siasatan LPPR tidak sama ertinya dengan “siasatan bebas untuk memastikan kebenaran dan butiran”.

“Hanya siasatan bebas akan dapat membersihkan nama beliau (Azam) dan memulihkan integriti SPRM,” katanya kepada FMT.

BACA:

5 sebab mengapa wanita suka lelaki berkepala botak
Majikan dilarang telefon kakitangan di luar waktu kerja
Bintang TikTok terkenal ditemui mati, ayat dalam video terakhir jadi ‘clue’