Harga minyak sawit mulai jatuh, dijangka akan turunkan harga minyak masak

: Harga minyak masak yang lebih rendah kini boleh dijangka kerana niaga hadapan minyak sawit menurun dengan ketara sejak seminggu yang lalu, kata seorang penganalisis minyak sawit.

Bagaimanapun Sathia Varqa dari Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura berkata, masa lebih sebulan diperlukan untuk menurunkan harga tersebut.

Semalam dilaporkan niaga hadapan minyak sawit Malaysia berada di landasan untuk penurunan terbesar dalam tempoh lebih 16 bulan selepas jatuh hampir 10%.

Kata Sathia, harga minyak kacang soya dan bunga matahari – pesaing utama minyak sawit – yang lebih rendah, menyumbang kepada penurunan niaga hadapan minyak sawit.

Senario ini mungkin akan berlanjutan selama beberapa bulan dengan Amerika Syarikat dan Ukraine meningkatkan keluasan penanaman soya dan bunga matahari masing-masing, tambahnya.

Beliau berkata, pendorong utama harga minyak masak di Malaysia adalah harga minyak sawit mentah (CPO) dan sementara harga akan meningkat dengan cepat seiring dengan harga CPO, ia tidak akan turun secepatnya.

“Harga runcit tidak akan turun dengan segera kerana peruncit membeli bekalan ketika harga tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak juga disebabkan oleh permintaan global dan domestik yang tinggi untuk produk minyak sawit bulan lalu ketika bekalan rendah.

“Sebenarnya stok CPO tempatan merosot 96.1% pada Mei berbanding April. Ini mungkin kerana sambutan Hari Raya, pembelian panik dan kenyataan bahawa banyak industri dan perniagaan kekal dibuka ketika sekatan pergerakan penuh,” katanya.

Menangani harga tinggi

Kata Sathia, langkah kerajaan hanya memberi subsidi bagi minyak masak dalam paket 1kg mungkin kaedah terbaik untuk memastikan subsidi yang dibelanjakan untuk minyak masak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

Beberapa cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi kenaikan harga minyak masak yang meningkat lebih 100% sejak Disember 2019.

Ini termasuk harga siling bagi minyak masak dalam botol, kenaikan subsidi yang dibiayai cukai yang dikutip daripada industri minyak sawit dan sistem harga dua peringkat bagi CPO.

Mengenai harga siling atau subsidi untuk minyak masak dalam botol Sathia berkata, sukar untuk memastikan subsidi mencapai kumpulan sasaran.

“Orang kaya atau perniagaan yang tidak memerlukan subsidi akhirnya akan mendapat keuntungan tetapi mereka kurang cenderung membeli paket kecil 1kg.

“Selain itu, jika anda ambil wang daripada syarikat perladangan untuk memberi subsidi, apa yang anda lakukan adalah mengembalikan wang itu ke ladang melalui penjualan minyak masak bersubsidi.”

Sathia berkata, langkah campur tangan pasaran untuk produk tidak menentu seperti minyak sawit adalah “rumit” dan kekuatan pasaran masih menjadi cara terbaik untuk menentukan harga, terutamanya ketika produk tersebut mempunyai permintaan global.

“Langkah-langkah seperti harga siling atau harga dua peringkat boleh menjadi kontraproduktif kerana ia tidak menggalakkan pengeluar, oleh sebab pada dasarnya ia bermaksud keuntungan lebih rendah,” katanya.

Alternatif yang lebih baik katanya, adalah mensasarkan subsidi bagi orang miskin dan kerajaan boleh menggunakan cukai daripada industri kelapa sawit untuk memberi bantuan tunai atau bakul makanan, bukan subsidi menyeluruh.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/15/harga-minyak-masak-mungkin-jadi-lebih-murah/