Harga keperluan naik 60 peratus jika tukaran ringgit capai RM5.50 bagi AS$1

Harga keperluan naik 60 peratus jika tukaran ringgit capai RM5.50 bagi AS$1. Harga barangan dijangka meningkat antara 50 hingga 60 peratus sekiranya kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mencecah RM5.50 bagi AS$1 akhir tahun ini.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata peningkatan itu disebabkan Malaysia mengimport lebih 80 peratus barangan keperluan dari luar negara, terutama produk makanan.

“Sebenarnya import makanan kita sudah bertambah sejak 2015. Ketika itu kira-kira RM35 bilion, 2019 jadi RM45 bilion dan hari ini sudah menjadi RM55 bilion. Jadi berkemungkinan ia akan meningkat lagi disebabkan perubahan kelakuan pengguna.

“Hampir 45 peratus makanan yang kita import adalah makanan luar iaitu makanan yang kita makan di restoran. Jadi, jika import ke atas makanan terus meningkat, maknanya permintaan ke atas dolar AS akan meningkat sebab kita membeli (mengimport) barangan dalam mata wang itu,” katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Menteri Kewangan, berkata kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dijangka mencecah RM5.50 bagi AS$1 akhir tahun ini jika kerajaan tidak ambil langkah bersesuaian mengekang penyusutan berterusan mata wang tempatan.

Harga keperluan naik 60 peratus jika tukaran ringgit capai RM5.50 bagi AS$1

Sehubungan itu, kerajaan digesa menumpu sepenuh perhatian kepada pembaikan tukaran asing supaya nilai ringgit tidak terus jatuh, malah dapat dipertingkatkan berbanding dolar AS.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, golongan B40 akan paling terkesan sekiranya harga barangan meningkat dan status mereka bakal berubah menjadi fakir.

“Golongan B40 paling terkesan yang mana median pendapatan mereka adalah sekitar RM2,000 hari ini, sedangkan kos sara hidup untuk seorang bujang sudah menjadi RM2,500, untuk keluarga empat orang pula sekurang-kurangnya RM3,500,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkongsi pandangan sama sekiranya kadar mata wang ringgi susut kepada RM5.50 bagi AS$1.

Jelasnya, penyusutan ringgit itu akan memberi kesa kepada kadar inflasi negara dan sekali gus memberi tekanan kepada keadaan kewangan negara.

“Kalau kita lihat pun kenyataan kerajaan bahawa kadar inflasi dijangka sekitar 2.2 hingga 3.3 peratus dan kita lihat perangkaan baharu daripada Jabatan Perangkaan untuk bulan lalu, sudah naik kepada 2.3 peratus. Malah harga makanan sudah meningkat kepada 4.1 peratus.

“Jadi ia akan memberi tekanan kepada inflasi dan menaikkan harga barangan terutama makanan. Ia juga akan memberi tekanan kepada kerajaan sebab apabila kerajaan memutuskan meletakkan harga kawalan ke atas makanan asas, kerajaan terpaksa memberi subsidi,” katanya.

Beliau berkata, subsidi yang kerajaan terpaksa belanja tahun ini iaitu sekitar RM28 bilion dan kemungkinan meningkat RM30 bilion yang mana jumlah itu sebenarnya lebih tinggi berbanding kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tahunan iaitu kira-kira RM27 bilion.

BACA:

Wanita wajib tahu, beza susut nilai barang kemas emas 916 dan 999

Wanita tampal nota masa bawa motor tarik perhatian

UiTM buka jawatan kosong untuk rakyat Malaysia, mohon sekarang

CATEGORIES