‘Curious’ mana nenek moyang simpan duit dulu-dulu? Ini senarai ‘bank’ pelik bagi mereka

Sejak kecil, kita telah diajar untuk berjimat-cermat dan bijak dalam menguruskan kewangan.

Sebagai langkah permulaan, ibu bapa sering memberikan tabung kepada kita sebagai bekas simpanan wang.

Namun, adakah anda pernah sedar bahawa golongan terdahulu, seperti ibu dan nenek kita, sering menyimpan wang dan barang kemas di tempat yang tersorok dan tidak terfikir secara logik.

Selain daripada menyimpan di bawah tilam, terdapat juga yang meletakkan wang di celahan dinding rumah, diselit dalam al-Quran, dan pelbagai tempat lain

Berikut adalah lima tempat pelik untuk menyimpan wang yang pernah diamalkan oleh masyarakat kita.

‘Curious’ mana nenek moyang simpan duit dulu-dulu? Ini senarai ‘bank’ pelik bagi mereka

1. Tilam

Dahulu, kesedaran tentang pentingnya menyimpan wang di bank tidak begitu tinggi. Oleh itu, orang zaman dahulu sering menyembunyikan wang di bawah tilam sebagai alternatif yang mudah.

Ada yang lebih kreatif lagi, dengan menembusi tilam dan menyimpan wang di dalamnya.

Untuk keselamatan, lubang pada tilam itu dijahit semula dan hanya dibuka pada masa yang ditetapkan.

2. Dinding

Dinding rumah yang dibina daripada papan dan kayu sering mempunyai ruang tersembunyi yang tidak dapat dilihat dengan mudah.

Orang-orang terdahulu bijak menggunakan ruang-ruang ini sebagai lokasi rahsia untuk menyimpan wang.

3. Buku/Al-quran

Cara ini juga popular di kalangan generasi terdahulu. Halaman wang kertas yang nipis mudah disembunyikan di dalam buku tebal.

Selain itu, al-Quran juga sering dipilih sebagai tempat untuk menyimpan wang.

Dengan cara ini, ramai yang merasakan rasa ‘takut’ dan bersalah untuk menggunakan wang tersebut, yang seterusnya membantu mereka mencapai matlamat simpanan mereka.

4. Dapur

Dapur sering dipenuhi dengan pelbagai barang, menjadikan kaedah penyimpanan di sini lebih selamat dan sukar dikesan oleh orang lain. Ada yang terdahulu menyimpan wang di dalam bekas beras atau dalam bekas plastik yang disusun di atas rak.

5. Pasu/kotak

Simpanan wang di dalam pasu bunga mungkin menjadi pilihan beberapa ibu-ibu kita dahulu. Kaedah ini pastinya tidak dapat dikesan oleh penceroboh kediaman. Selain itu, wang juga boleh disimpan di dalam kotak bekas yang terpakai sebagai alternatif penyimpanan.

Kelebihan dan kekurangan

Kelebihan penyimpanan wang di tempat tersorok termasuk kesukaran untuk dikesan oleh individu lain dan kemudahan mencapai sasaran tabungan.

Ini kerana mengeluarkan semula wang dari tempat seperti tilam atau pasu bunga memerlukan usaha yang lebih.

Namun, terdapat juga kekurangan yang perlu diambil kira. Wang yang disimpan mungkin rosak diserang tikus atau anai-anai, dan risiko kehilangan keseluruhan simpanan meningkat jika berlaku kebakaran di rumah.

Baca: “Aku tergamam bila isteri kata dia mengidam bau perfume ex, tapi bila jumpa aku tak bau apa pun, rupanya..”