Annuar Musa dakwa tahu siapa dibelakang persepsi ‘Kerajaan gagal’

Annuar Musa dakwa tahu siapa dibelakang persepsi ‘Kerajaan gagal’

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan persepsi kerajaan gagal merupakan satu permainan politik yang tidak sihat.

Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau sebenarnya mengetahui pihak itu dan tujuan mereka mewujudkan permainan politik itu yang bertujuan menghakis kepercayaan kepada kerajaan sebagai satu strategi politik.

“Kalau tengok pada angka dan fakta, kita adalah kerajaan yang cukup berjaya tetapi jangan ambil kesempatan daripada kesempitan. Kerajaan sedang dihimpit oleh pandemik.

“Jadi lebih baik kita tumpukan masa untuk saling menyokong, yang renggang kita dekatkan, yang jauh rapatkan, yang retak kita boleh gabungkan daripada saling melemahkan satu sama lain. Dek kerana hanya agenda kecil yang bersifat peribadi kita meninggalkan amanat dan agenda yang lebih besar.

“Sebab itu pada saya gandingan yang ada pada kerajaan sekarang ini yang mana UMNO, PAS segalanya ada di situ perlu dipertahankan. Kalau ada lemah kita baiki kerana kita tidak mampu gagal,” katanya dalam program Bicara Harakah bertajuk ‘Mengurus Covid-19: Betul Ke #KerajaanGagal?’ semalam.

Selain beliau, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor juga menjadi panelis.

Tambah Annuar, pengurusan Covid-19 juga diuruskan oleh semua kerajaan dan bukan hanya melibatkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Jawatankuasa tertinggi Covid-19 itu MKN (Majlis Keselamatan Negara) dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan anggotanya menteri besar parti daripada Bersatu, Pas, UMNO, PKR dan DAP, kesemuanya ada.

“Ini bukan soal kerajaan PN yang menguruskan Covid-19. Covid-19 diuruskan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat yang datangnya daripada semua parti, mengapa kita nak katakan kegagalan PN.

“Sepatutnya kita ambil tanggungjawab bersama, kita tahu kalau dia nak mengkritik daripada orang UMNO, kita tahu UMNO yang duduk menguruskan Covid-19, yang kritik daripada orang Pas, Pas ada dalam pengurusan Covid-19, yang duduk kritik daripada DAP, DAP ada dalam jawatankuasa itu.

“Kalau kita duduk hayun kata kerajaan gagal, siapa yang gagal, ludah ke langit, jatuh ke muka sendiri,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/persepsi-kerajaan-gagal-permainan-politik-tidak-sihat/