Ahli parlimen PH dan BN sepakat kos RM25 juta untuk APEC terlalu tinggi

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) meminta kerajaan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan mengapa penganjuran Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) secara maya dan digital menelan kos berjumlah RM25 juta.

Wakil rakyat Umno itu berpendapat penganjuran APEC yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah sejak 11 hingga 20 November lalu itu memerlukan peruntukan RM5 juta yang dianggap sudah banyak.

“RM20 juta itu boleh dibelanjakan untuk perkara lain mempromosi eksport dan perkara-perkara yang sepatutnya,” soal Ahmad dalam perbahasan Dewan Rakyat semalam.

Beliau dalam perkembangan sama menambah, pihaknya menerima maklumat bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperuntukkan RM60 juta untuk mengubahsuai Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi penganjuran APEC.

“Adakah perkara itu benar? Adakah ia digunakan sepenuhnya dan apakah gunanya dilakukan pengubahsuaian kerana segalanya dilakukan secara maya dan digital?” soalnya lagi.

Sementara itu, Dr. Ong Kian Ming (PH-Bangi) turut bangkit mempersoalkan hal sama dan memaklumkan peruntukan asal untuk persidangan APEC dalam Belanjawan 2020 adalah sebanyak RM300 juta.

“Saya rasa apabila persidangan APEC dijalankan secara maya dan digital, ada banyak penjimatan kos termasuk kos pengangkutan, kos keselamatan dan kos-kos lain.

“Nak tanya menteri (Azmin) berapa banyak penjimatan perbelanjaan dalam APEC 2020 dapat dibuat sebab saya anggarkan RM300 juta memang tidak dibelanjakan. Jadi berapa penjimatan telah dibuat menerusi persidangan secara maya.

“Lebih penting, kalau ada penjimatan dalam peruntukan (APEC) menerusi Bajet 2020, kenapa dalam Belanjawan 2021 pula masih ada peruntukan sebanyak RM25 juta untuk persidangan APEC?

“Kita bukan ke luar negara atau ke mana-mana,” tegas wakil rakyat DAP itu.

Beliau turut menasihatkan supaya kerajaan berbelanja secara berhemah dan peruntukan yang selebihnya patut disalurkan ke tujuan lain yang lebih murni.

Kian Ming menyifatkan peruntukan yang dijimatkan menerusi APEC lalu boleh dibelanjakan kepada barisan hadapan dan Kementerian Kesihatan yang sedang berdepan pandemik Covid-19.

“Sebenarnya peruntukan ke luar negara dibangkitkan Pontian tadi.Kalau pergi ke mana-mana negara APEC pun, bukan sahaja New Zealand tetapi juga negara lain, takkan makan perbelanjaan RM25 juta.

“Saya setuju dengan Pontain (Ahmad),” tegasnya.

Dalam masa sama Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (BN-Tuaran) juga menyokong pertanyaan Ahmad sambil mempersoalkan kewajaran sehingga perlu memperuntukan RM25 juta untuk persidangan secara maya.

“Tahun depan APEC akan dianjurkan di New Zealand dan saya difahamkan mereka juga akan mengadakan persidangan ini secara maya juga.

“Jadi kenapa perlu sehingga RM25 juta untuk persidangan secara maya itu,” soal Wilfred.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/ahli-parlimen-bn-ph-persoal-kos-rm25-juta-apec-2020/