12 ‘Food Rider’ kena kompaun kerana makan di taman secara berkumpulan

Polis mengesahkan mengeluarkan 12 kompaun ke atas pekerja penghantaran makanan yang didapati makan secara berkumpulan tanpa menjaga penjarakan fizikal, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata lapan kompaun dikeluarkan ke atas lapan individu ketika mereka sedang makan di sebuah taman permainan di Taman Segambut, di sini, Selasa lalu.

“Kompaun dikeluarkan atas kesalahan makan secara berkumpulan tanpa menjaga penjarakan fizikal.

“Empat lagi kompaun dikeluarkan Rabu lalu ke atas empat lagi pekerja penghantaran makanan yang melakukan kesalahan sama di sebuah warung kosong di tepi Jalan Batu 3, Jalan Ipoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Segambut, Hanna Yeoh merayu budi bicara pihak berkuasa ketika mengeluarkan kompaun ke atas pekerja penghantaran makanan susulan aduan diterima pihaknya.

Eng Lai berkata, semua pekerja itu dikompaun selepas nasihat supaya mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak diendahkan.

Beliau berkata, polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta 342 dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan pandemik COVID-19.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP PKP dengan tidak berkumpul sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/06/824158/makan-berkumpulan-12-pekerja-penghantar-makanan-dikompaun