Zahid nafi tuduhan ‘reka’ keputusan mesyuarat MKT

Zahid nafi tuduhan ‘reka’ keputusan mesyuarat MKT

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah hasil keputusan beliau sendiri.

Menurut beliau, segala keputusan itu diputuskan secara berperlembagaan, musyawarah dan bijaksana berpaksikan kemaslahatan rakyat serta negara.

“Maka tidak benarlah propaganda dan persepsi yang kerap direka konon Presiden UMNO buat keputusan sendiri untuk parti.

“Terbukti juga UMNO bukan sebuah parti yang boleh berkompromi apabila melibatkan kepentingan rakyat serta negara.

“Malah UMNO sebuah parti yang tegas dan jitu mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Pada awal pagi Khamis, Mesyuarat MKT UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta-merta.

Ahmad Zahid berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO mendengar suara hati akar umbi parti dan memenuhi mandat Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Jelasnya, pihaknya akan terus bersama rakyat walaupun apa cabaran dan rintangan demi Malaysia tercinta.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/148843/BERITA/Politik/Ahmad-Zahid-nafi-hasil-mesyuarat-MKT-keputusan-sendiri

BACA JUGA : Annuar Musa dakwa keputusan MKT tak sama diumum Zahid