Yasin jadi imam solat di penjara, ramai yang menangis

Yasin jadi imam solat di penjara, ramai yang menangis. “Yasin dalam keadaan baik. Dia menjadi imam solat lima waktu dan tarawih.”

Demikian kata abang penyanyi, Yasin Sulaiman iaitu Zain Sulaiman, 50, berkenaan keadaan terkini adiknya itu yang kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara.

Zain ketika dihubungi berkata, dia bersama keluarga lain bergilir-gilir melawat Yasin di penjara.

“Minggu lepas saya dan ayah pergi melawatnya di penjara. Insya-Allah, pada hari raya ini pun nak cuba melawat lagi.

“Alhamdulillah, dia dalam keadaan baik. Dia gembira kerana dapat jumpa keluarga. Semangat dia positif. Dia tak boleh tekanan, itu yang kami risau sebab dia ada bipolar. Harap dia terus ambil ubat. Apa pun, dia stabil di sana. Dia juga beritahu, diberi layanan baik oleh banduan lain dan kakitangan di sana.

“Dia banyak lakukan aktiviti yang membuatkan dirinya sentiasa positif. Selain menjadi imam sembahyang, dia turut mengajar banduan lain mengaji. Setiap kali keluarga datang melawat, dia berkongsi perkara baik,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Zain berkata dia akan mengusahakan agar dua anak Yasin iaitu Sameer, 18, dan Malaika, 14, melawat bapa mereka.

“Untuk anak Yasin dibawa melawat, insya-Allah saya akan uruskan dalam masa terdekat. Mereka tahu keadaan ayah mereka. Kami sekeluarga sentiasa mengemaskini keadaan Yasin pada mereka.

“Mereka juga sentiasa kirimkan pesanan untuk Yasin. Begitu juga Yasin, yang mana baru-baru ini sampaikan nasihat supaya anak-anak terus tabah dan berjanji akan pulang ke pangkuan mereka,” katanya.

Sementara itu, Zain turut berkongsi dia sekeluarga sudah mendapatkan khidmat pasukan guaman bagi pembelaan kes Yasin.

Disebabkan itu, mereka melancarkan Tabung Bantuan Yasin Sulaiman bagi menampung kos guaman.

“Tujuan utama kami lancarkan tabung ini adalah untuk tampung kos guaman. Kos agak tinggi sebab membabitkan tuduhan yang berat.

“Tabung ini sudah diumumkan di Facebook dua minggu lepas dan baru hari ini di Instagram. Alhamdulillah, sambutan sangat baik terutama dalam kalangan keluarga dan kawan-kawan. Mungkin selepas ini akan lebih banyak. Terima kasih atas sokongan diberikan terhadap Yasin,” katanya.

Terdahulu, Yasin ditahan polis kerana disyaki memiliki dan menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya. Mahkamah menerapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes.

TONTON :

BACA:

PasLeaks : MB Kedah diberi 48 Jam minta maaf dengan Isham Jalil

Syarikat Makanan buat laporan polis terhadap Mak Wan, ini yang terjadi rupanya

Duit Ringgit makin kritikal, rakyat Singapura Q panjang ‘panik’ tukar dengan Dolar

CATEGORIES