Warga emas mati ketika memandu didakwa kerana Covid-19. Polis akan menyiasat kematian membabitkan seorang warga emas berusia 71 tahun yang meninggal dunia selepas Perodua Ativa dipandunya terbabas di pembahagi jalan berhadapan Majlis Perbandaran Kluang, di sini pagi ini.
Ia berikutan terdapat dakwaan mangsa, Tan Tian Seng yang ketika kejadian dipercayai dari arah Jalan Kota Tinggi menghala ke bandar Kluang itu adalah pesakit Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan itu dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sementara memperoleh hasil siasatan.
Dalam kejadian pada pukul 9.59 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melalui talian MERS 999 selepas mangsa terperangkap dalam kenderaan setelah terlibat kemalangan.
Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Shamsul Amri Mohd. Shahab berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu sebelum petugas Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Sebuah jentera FRT, EMRS dan Unit RIM dari BBP Kluang dengan kekuatan 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi, PKO bertindak membuka pintu kereta mangsa dan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dalam tempoh lima minit.
“Setelah tugas pihak bomba diselesaikan, operasi ditamatkan pada pukul 11.02 pagi dan menyerahkan mangsa kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/08/polis-siasat-dakwaan-warga-emas-mati-akibat-covid-19/