Walaupun berada dalam kerajaan, Pemuda Umno tawar khidmat nasihat guaman percuma kes kompaun RM10,000

Pemuda UMNO menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianayai akibat tindakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tawaran berkenaan meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membuat rayuan pengurangan kompaun bagi kesalahan-kesalahan melibatkan PKP.

“Dalam masa terdekat, Pemuda UMNO akan menyediakan platform secara dalam talian untuk individu-individu yang dikompaun bagi menghantar maklumat dan mendapatkan khidmat nasihat perundangan.

“Pemuda UMNO juga menyediakan dua talian hotline yang beroperasi untuk orang ramai memberikan maklum balas di talian 013-7354116 dan 013-7354117,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin.

Pada Khamis lalu, media melaporkan individu yang dikompaun kerana melanggar SOP PKP akan dikenakan kompaun RM10,000.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada Khamis.

Asyraf Wajdi menambah, tiga orang peguam dalam kalangan Exco Pemuda UMNO yang akan mengetuai pasukan berkenaan adalah Nik Saiful Adli Burhan, Faridzul Azlan Abd Shani dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

Katanya, Pemuda UMNO tetap berpendirian agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menilai kembali jumlah kompaun RM10,000 yang ditetapkan agar rakyat tidak terus merasa teraniya dan terbeban.

“Pemuda UMNO amat prihatin dengan keluh kesah rakyat mengenai isu peningkatan amaun kompaun berjumlah RM10,000 yang melibatkan kes-kes pelanggaran SOP.

“Walaupun secara prinsipnya Pemuda UMNO menyokong usaha kerajaan memperketatkan SOP untuk membendung penularan Covid-19, namun jumlah kompaun yang terlalu tinggi hakikatnya amat membebankan rakyat lebih-lebih lagi mereka sudah sedia terbeban dengan pelbagai kepayahan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/128574/BERITA/Nasional/Kompaun-RM10000-Pemuda-UMNO-tawar-khidmat-nasihat-guaman-percuma

COMMENTS

Wordpress (0)