Wad kecemasan kritikal, pesakit terpaksa tunggu katil kosong

Wad kecemasan kritikal, pesakit terpaksa tunggu katil kosong

wad kecemasan Lembah Klang, pesakit terpaksa tunggu katil kosong .Jabatan kecemasan di hospital-hospital di Lembah Klang berdepan tekanan hebat dengan wad Covid-19 kini menampung pesakit melangkaui kapasitinya.

Imej memaparkan pesakit menjalani prosedur di lantai wad kecemasan dan pesakit menunggu katil mula tersebar di media sosial, di tengah-tengah kakitangan kesihatan berdepan “kebanjiran” pesakit.

Di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, seorang kakitangan kesihatan memuat naik video di media sosial yang memaparkan pesakit dalam keadaan tenat menunggu katil dan kerusi roda di jabatan kecemasan.

Malaysiakini difahamkan yang hospital tersebut memiliki 280 katil di wad Covid-19 tetapi ramai sedang menunggu untuk dimasukkan.

Wad kecemasan

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini terdapat kira-kira 100 pesakit, termasuk yang bukan dijangkiti COvid-19, sedang menunggu katil di jabatan kecemasan HTAR.

Ini bermakna jabatan kecemasan perlu membrikan perkhidmatan seperti sebuah wad – walaupun ia bukan untuk tujuan itu.

Difahamkan yang pegawai perubatan baru daripada jabatan lain dikerahkan ke jabatan kecemasan, walaupun mereka tidak dilatih untuk perkhidmatan kecemasan.

“HTAR memang sentiasa sibuk dan sesuatu yang biasa untuk lihat lebih 10 orang menunggu katil di wad kecemasan.

“Tetapi sejak kira-kira dua minggu lalu, keadaan menjadi begitu teruk dengan lebih 100 orang menunggu,” seorang sumber yang enggan dinamakan memberitahu Malaysiakini.

Kakitangan kesihatan dalam perkhidmatan awam tidak dibenarkan bercakap dengan media tanpa kebenaran pihak atasan mereka.

Malaysiakini telah menghubung Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Shariman Ngadiman untuk mengulas perkara ini.

‘Prosedur perubatan di lantai’

Sementara itu, di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kakitangan di jabatan kecemasan terpaksa melaksanakan prosedur perubatan penting – ada diantaranya melibatkan nyawa – di lantai.

Ini kerana tiada katil – mahupun katil lipat kanvas – yang kosong, kata kakitangan kesihatan.

“Orang bertarung nyawa setiap hari. Memang sangat menyedihkan untuk lihat dan putuskan siapa yang perlu ‘pergi’ dulu.

“Tiada siapa yang akan faham apa yang kami lalui di sini. Orang datang minta selamatkan nyawa keluarga mereka di saat kami sendiri tidak berupaya.

“Kami hanya boleh buat yang terbaik, tetapi malangnya ia tidak akan memadai,” kata seorang kakitangan kesihatan dalam satu hantaran di media sosial.

Seperti di HTAR, wad Covid-19 di HKL juga penuh dengan katil-katil tambahan ditempatkan di mana-mana ruang yang ada, kata sumber dari hospital itu kepada Malaysiakini.

“Jika anda datang ke sini, anda akan lihat wad kami bukan macam wad biasa di hospital. Tiada lagi ruang di antara katil,” kata seorang sumber yang enggan dinamakan.

Kakitangan kesihatan itu berkata, keadaan itu turut memberi kesan kepada rawatan selain Covid-19, apabila lebih banyak katil diberikan kepada pesakit wabak itu.

“Di mana pesakit bukan Covid-19 boleh pergi? Kita ini hospital awam. Jika kita tolak mereka, ke mana mereka akan pergi?” kata seorang lagi sumber yang enggan dinamakan.

Malaysiakini telah menghubung Pengarah HKL Dr Heric Corray berhubung perkara ini.

Beberapa sumber dalam Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu Malaysiakini, hampir semua hospital awam di Lembah Klang dalam keadaan serupa, kecuali Hospital Putrajaya.

Menurut kakitangan kesihatan, kesesakan itu berkaitan dengan kurangnya dana untuk perkhidmatan kesihatan awam buat sekian lama.

Mereka berkata hospital di Lembah Klang hanya boleh bertahan jika kes berkurang dalam tempoh dua minggu.

“Satu-satunya cara untuk orang awam membantu kami adalah untuk elakkan diri daripada dijangkiti, duduk di rumah seboleh mungkin dan dapatkan vaksin apabila mereka boleh mendapatkannya,” kata seorang kakitangan.

Ketika dihubungi, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata pusat kawalan bersepadu untuk hospital sedang berusaha memenuhi keperluan di Lembah Klang.

“Pusat kawalan bersepadu yang diketuai pengarah Jabatan Kesihatan Selangor sedang berusaha untuk menjamin keperluan rawatan rapi di Lembah Klang dipenuhi,” katanya.

Sejumlah besar kawasan di Selangor dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur akan dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai esok, selepas jumlah kes baru yang kekal tinggi.

Mengikut penguatkuasaan PKPD sebelum ini, penduduk tidak dibenarkan keluar rumah dan barangan keperluan dibekalkan kepada mereka.

Bagaimanapun, PKPD kali ini masih membenarkan penduduk keluar tidak melangkaui radius 10 kilomter daripada rumah.

Mereka yang bekerja dalam industri di perkhidmatan penting juga masih dibolehkan keluar bekerja.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/581497

Jika Anda Terlepas: Gempar !!! Pertemuan ‘luar biasa’ pemimpin kerajaan dilaporkan malam tadi