[Video] LPT1 dinaiki air, ditutup di KM198

Oleh MHDAILY

Pengguna yang mahu ke Kuantan dan Kuala Lumpur diminta menangguhkan perjalanan buat sementara waktu kerana Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 di Kilometer 198 antara persimpangan bertingkat Gambang dan Sri Jaya, ditutup kepada semua kenderaan akibat limpahan air sungai sejak jam 8.40 pagi tadi.

Syarikat konsesi LPT, ANIH Berhad (ANIH) dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan itu berikutan kawasan terbabit sepanjang satu kilometer dinaiki air sedalam kira-kira 0.6 meter.

Hujan lebat berterusan menyebabkan semua lorong di kedua-dua hala ditutup kepada semua kenderaan.

“Orang ramai dinasihat mengikuti status dan perkembangan perkara ini menerusi saluran rasmi ANIH iaitu Twitter @LPTTrafik dan Facebook @Lebuhraya Pantai Timur untuk status terkini keadaan trafik dan lebuh raya,” katanya.

Dalam pada itu, ANIH dalam kenyataan petang ini berkata, laluan di Kilometer 198 LPT1 sudah dibuka semula kepada semua kenderaan jam 3.30 petang ini.

Kenyataan itu menyebut, lorong di Kilometer 198 (hala timur) dan lorong laju di KM198 (hala KL), kini dibuka kepada lalu lintas.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya itu dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan petugas di lokasi berkenaan.

Sementara itu dalam kenyataan petang ini, Pengurus Perniagaan LPT2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim, berkata pengguna Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) disaran merancang perjalanan mereka susulan banjir di kedua-dua arah di KM198 di LPT1 antara Persimpangan Bertingkat Sri Jaya dan Gambang ketika ini.

Katanya, ketika ini, semua laluan LPT2 antara Kuala Terengganu dan Jabor masih boleh digunakan.

Bagaimanapun, disebabkan LPT2 bersambung dengan LPT1, pengguna yang sudah memasuki LPT2 digesa berhenti di kawasan rawat dan rehat (R&R) yang disediakan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan arahan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pelbagai kemudahan disediakan di R&R di LPT2 dan LPT seperti Perasing, Paka dan lain-lain untuk keselesaan termasuklah gerai makan, tandas awam, surau serta kawasan meletak kenderaan yang luas dan mencukupi sebelum pengguna menyambung semula perjalanan selepas banjir di LPT surut,” katanya.

Katanya, orang ramai yang menuju ke Terengganu atau Kelantan dari Lembah Klang pula disaran berhenti seketika di R&R Temerloh di LPT sebelum menyambung perjalanan mereka.

“Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat keadaan trafik termasuk perkembangan banjir menerusi laman Facebook LPT2 atau menghubungi LPT2Line di talian 1800-88-0220 atau talian bantuan LPT di 1700-81-8700, twitter LPTTrafik atau laman Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/771464/banjir-lpt-fasa-1-ditutup-di-km198

Baca Artikel Penuh