Aksi polis trafik korek longkang dengan tangan demi atasi banjir dapat pujian.Usaha seorang anggota polis trafik turun ke parit dan membersihkan saluran air tersebut di jalan raya yang sibuk dengan kenderaan mengundang pujian orang ramai.
Klip video berdurasi seminit yang tular di TikTok sejak semalam itu menunjukan seorang anggota beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha untuk menyelesaikan masalah air bertakung di bahu jalan.
Polis berkenaan dilihat mengeluarkan sampah plastik dari saluran air itu dengan menggunakan sebatang kayu.
Cubaannya beberapa kali membersihkan saluran tersebut akhirnya berjaya apabila bercurahan air yang bergenang di atas jalan raya itu keluar sekali gus membantu kawasan ditenggelami itu surut.
Bahu jalan yang digenangi air sehingga mendorong polis trafik turun ke parit untuk menyelesaikan masalah.
Sehubungan itu, ribuan warganet memuji aksi polis itu kerana telah membantu kelancaran trafik dan keselesaan pengguna jalan raya walaupun membuat tindakan yang dilihat di luar bidang tugasnya.
Rata-rata mendoakan anggota polis trafik tersebut sentiasa dipermudahkan segala urusan selain mempersoalkan peranan ahli majlis malah menyindir supaya menteri turun mencuci longkang tersumbat itu.
“Mulianya hati seorang insan yang ikhlas melaksanakan tugas. Moga dipermudahkan segala urusan,” kata pengguna TikTok, @baie73.
Nagarajan Manogar pula menulis, “Mana pi anggota majlis semua?” manakala @Landak Perdana berkata, “hanya mereka yang tahu susah senang dan pengorbanan semua anggota PDRM.”