Strategi menunda dos kedua vaksin Covid-19 adalah keperluan mendesak pada ketika ini dan mampu memberi faedah besar, khususnya kepada rakyat yang berada di kawasan berisiko tinggi, kata seorang pakar perubatan.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan seharusnya lebih memfokuskan kepada kawasan berisiko tinggi seperti Lembah Klang yang menjadi punca peningkatan ketara jangkitan Covid-19 dalam usaha mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.
“Jika perlu, gerakkan semua sumber untuk berikan vaksin di kawasan risiko tinggi. Mungkin juga boleh pertimbangkan langkah mandatori (untuk divaksin).
“Difahamkan ramai yang masih menolak untuk terima vaksin ini walaupun mereka berada di kawasan berisiko tinggi,” katanya..
Dalam pada itu, bekas pengarah Kesihatan Negeri Pahang itu mengesyorkan strategi pemberian vaksin diubah dengan menumpukan lokaliti berisiko tinggi, berbanding mengikut fasa ketika ini.
“Dengan pelaksanan perintah kawalan pergerakan, ia boleh dibuat dengan cepat dan rantaian boleh diputuskan serta penggunaan sumber manusia boleh dioptimumkan,” katanya selain menambah bahawa proses pendaftaran dan temu janji menerusi aplikasi MySejahtera perlu dipermudah, terutama bagi golongan warga emas.
Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menimbangkan pelaksanaan “strategi tunda dos kedua” dalam memerangi peningkatan mendadak kes Covid-19 dan isu kekurangan bekalan vaksin.
Menurut kenyataan itu, strategi sama digunakan di United Kingdom pada November 2020 dan semakin banyak negara melaksanakan strategi menangguhkan dos kedua, termasuk Singapura dan India.
Ia juga berkata, penyelidikan terbaharu oleh Universiti Birmingham dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Awam England mendapati pemberian vaksin Pfizer BioNTech yang ditunda selama 12 minggu selepas dos pertama berbanding suntikan selepas tiga minggu, menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.
Dalam pada itu, pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dzulkefly Ahmad berkata, langkah melindungi seberapa ramai rakyat Malaysia dengan vaksin adalah perkara paling mustahak ketika ini berbanding menjaga kumpulan yang lebih kecil, iaitu mereka yang akan melengkapkan dos kedua.
“Amat mustahak untuk kerajaan Perikatan Nasional melaksanakan strategi ini, memandangkan bekalan (vaksin) semakin meruncing dan langkah melindungi sebahagian besar rakyat adalah lebih mustahak tidak mengira apa pun jenis vaksin yang digunakan,” katanya.
Dalam pada itu, bekas menteri kesihatan itu berkata, Putrajaya sejak awal lagi gagal menyelesaikan krisis kesihatan ini setelah gagal bersaing dalam mendapatkan bekalan vaksin lebih awal berbanding negara serantau.
“Kenapa kerajaan PN lembab dan lewat sangat? Apakah alasan yang boleh mereka berikan,” katanya selain mempersoalkan mengapakah Putrajaya hanya mengehadkan penggunaan tiga vaksin, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca dalam program vaksinasi negara.
“Seandainya kita mempunyai portfolio vaksin yang lebih luas, termasuk Moderna, Sputnik-V dan Johnson & Johnson, maka peluang untuk mendapatkan bekalan lebih awal pastinya lebih cerah.”
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/23/strategi-tunda-dos-kedua-keperluan-mendesak-percepat-capai-imuniti-kelompok-kata-pakar/