Ustaz Pas terus “bantai” musuh politik dalam tazkirah selepas surau dibuka

Baru masuk hari ketiga surau dan masjid di Selangor dibenarkan untuk mengadakan kuliah Maghrib semula akibat Covid-19, ustaz-ustaz Pas terus mengambil peluang untuk menyampaikan mesej dan kempen politiknya melalui kuliah yang disampaikan.

Malam tadi di sebuah surau di Rawang, seorang ustaz Pas (gambar atas) telah mengambil kesempatan untuk memperlekehkan parti lawannya melalui kuliah Maghrib yang diberikan di surau itu.

“Alhamdulillah setelah hampir setahun kita tidak berjumpa akibat Covid ni, kita berjumpa semula malam ini. Tajuk kuliah kita malam ini adalah tentang sifat Nabi kita iaitu Amanah.

“Sifat amanah ye tuan-tuan. Bukan amanah yang itu. Yang itu tidak betul, tak boleh pakai,” kata Ustaz muda itu ketika memulakan kuliahnya.

Kuliah beliau adalah yang ketiga di surau itu selepas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membenarkan semula kuliah Maghrib diberikan di surau dan masjid seluruh Selangor ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan.

Sebelum ini, sebarang kuliah tidak dibenarkan di surau atau masjid sepanjang PKP bagi mengelakkan orang ramai berkumpul yang boleh menyebabkan virus yang menyebabkan Covid-19 merebak.

Sebelum ini juga, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan dukacita dengan tindakan sesetengah pihak menggunakan masjid dan surau untuk berpolitik.

QUNUT NAZILAH SEMASA PAU

Hujung minggu lalu, jemaah surau yang sama terkejut apabila imam mengumumkan, dalam solat itu akan dibacakan ‘Qunut Nazilah’ yang biasanya dibaca oleh iman-iman ketika sesuatu peristiwa penting berlaku.

Ini kerana, Qunut Nazilah biasanya dibacakan oleh iman-iman dalam sembahyang untuk memohon doa kepada Allah ketika umat Islam menghadapi suasana gawat, mencemaskan dan terdesak.

Rupa-rupanya pada hujung minggu lalu berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bakal menentukan kedudukan kerjasama parti itu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khasnya Bersatu dan Pas.

Dalam perhimpunan itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut menjadi tetamunya telah pulang lebih awal tanpa bertemu wartawan sebelum majlis selesai selepas Presiden Umno menyerang Bersatu dan menyindir Pas.

Seorang jurukamera terpelanting jatuh apabila rombongan Unit Amal Pas yang mengiringi keluar Presiden dan Timbalan Presiden parti itu cuba mengelak dari wartawan dan jurugambar yang mengerumuni beliau.

Antara makna bacaan dalam Qunut Nazilah adalah:

“Ya Allah! Binasakan musuh kamu, Musuh agama (Islam). Ya Allah! Hancurkan kekufuran, Syirik dan Munafiq, Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan pada leher-leher musuh kami (kami serah kepada Mu) dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan-kejahatan mereka.

“Ya Allah! Cerai beraikan himpunan mereka, pisahkan kesatuan mereka, selerakkan kalimah-kalimah mereka, gegarkan ketetapan mereka, Kalahkan mereka dengan anjing dari anjing-anjing kamu.”

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/baru-seminggu-buka-ustaz-pas-terus-guna-surau-untuk-sampai-mesej-politik/