Usaha tak khianati hasil, pemuda usia 20 tahun raih pendapatan RM7000 usaha ladang sawit

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Di saat ramai memilih untuk bekerja makan gaji atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, Muhammad Hazim Mohd. Akhir,

seorang pemuda berusia 20 tahun dari Kampung Haji Dahalan, mengambil langkah berbeza dengan menumpukan perhatian kepada sektor pertanian.

Menurut laporan Kosmo!, berkat usaha gigih dan semangat juangnya, Hazim berjaya meraih pendapatan sehingga RM7,000 sebulan dengan mengusahakan ladang sawit milik keluarganya.

Sebagai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Hazim mula membantu bapanya di ladang sawit sejak usia 12 tahun.

Melalui pengalaman itu, beliau menyaksikan sendiri bagaimana bapanya bekerja keras dari subuh hingga petang untuk mengusahakan ladang.

Usaha tak khianati hasil, pemuda usia 20 tahun raih pendapatan RM7000 usaha ladang sawit

Meskipun ada yang memandang rendah pekerjaan di sektor pertanian kerana dianggap kotor, mencabar, dan berbahaya, Hazim membuktikan sebaliknya. Dengan perancangan yang rapi, beliau berjaya mengatasi segala cabaran dan menjadikan ladang sawit seluas 16 hektar itu sebagai sumber pendapatan utama.

Bagi mengembangkan hasil, Hazim turut memanfaatkan tanah pajakan untuk menambah keluasan ladangnya. Dibantu oleh bapanya yang bertindak sebagai mentor, Hazim memastikan setiap aspek pengurusan ladang berjalan lancar, termasuk aktiviti meracun, membaja, mengait buah, dan menghantar hasil sawit ke kilang.

Dengan sokongan dua pekerja tambahan, Hazim memastikan kawalan perosak dan kesuburan tanaman sentiasa diberi perhatian. Harga sawit yang kini mencecah RM890 hingga RM950 per tan turut menyumbang kepada kestabilan pendapatannya.

Tidak hanya itu, Hazim juga mengambil langkah proaktif dengan mengusahakan anak pokok sawit sebagai persediaan menanam semula pokok yang telah mencapai usia ekonomik.

Berbanding anak muda lain yang gemar berbelanja untuk kereta mewah atau gajet, Hazim lebih memilih untuk melabur pendapatannya ke arah yang lebih produktif.

“Saya lebih suka menggunakan duit untuk menambah aset seperti tanah dan rumah. Saya berhasrat memiliki kediaman sendiri sebelum mendirikan rumah tangga,” ujarnya dengan penuh tekad.

Selain itu, Hazim juga bijak mempelbagaikan sumber pendapatannya. Beliau kini turut mengusahakan tanaman buluh, nanas, pisang, serta ternakan ruminan.

Strategi ini bukan sahaja menjamin pendapatan yang lebih stabil, malah membuktikan bahawa sektor pertanian menawarkan peluang yang luas dan berpotensi menjadi aset bernilai untuk masa depan.

BACA: Masih ramai ambil ringan… ini Hukum orang Islam sertai acara ‘Secret Santa’

3 thoughts on “Usaha tak khianati hasil, pemuda usia 20 tahun raih pendapatan RM7000 usaha ladang sawit”

Leave a Comment