Usah libatkan negara kita lagi dengan perang di Yaman – Mohamad Sabu

Presiden Amanah

Bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya Liew Chin Tong menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak lagi membantu Arab Saudi dalam perang yang berlangsung di Yaman.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata Malaysia tidak sewajarnya terperangkap dalam mana-mana operasi ketenteraan di luar negara yang tidak diberi mandat jelas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dalam usaha beliau (Muhyiddin) melestarikan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, kami harap Malaysia tidak akan terlibat sekali lagi dalam perang di Yaman.

“Nyawa anggota tentera kita juga tidak boleh digadaikan semata-mata kepentingan politik,” kata kenyataan tersebut.

Muhyiddin kini dalam rangka lawatan kerja ke Arab Saudi di mana dia dijadual menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman melalui sidang video dalam talian dan bertemu Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Menurut Mohamad dan Liew, kerajaan melancarkan Ops Yaman 1 pada April 2015 melibatkan dua buah pesawat C-130 Tentera Udara Malaysia Diraja yang digerakkan ke Arab Saudi untuk membantu usaha memulangkan rakyat Malaysia di Yaman.

Namun pada bulan Jun 2015, misi kontinjen itu berubah kepada membantu tentera gabungan yang diketuai Arab Saudi dalam memerangi kumpulan Houthi dalam fasa yang dikenali sebagai Ops Yaman 2.

Pada ketika itu, kata mereka, kru C-130 TUDM diarahkan untuk menerbangkan alat ganti, peluru, dan bahan letupan untuk angkatan Saudi dan negara-negara sepakatnya.

“Dalam memo dalaman antara Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan dan Markas Angkatan Tentera, kerajaan telah dinasihatkan bahawa penglibatan ATM dalam perang di Yaman akan menjejaskan imej Malaysia di persada antara bangsa sebagai negara neutral.

“Malah, ia bercanggah juga dengan gerakan Global Movement of Moderates yang diangkat oleh mantan perdana menteri ketika itu juga. Selain itu, atur gerak unit tersebut turut melanggar prosedur eksekutif, ” jelas mereka.

Pada 3 Dis 2018, Liew mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa kabinet tidak dimaklumkan mengenai pembabitan Malaysia dalam operasi ketenteraan bersama Arab Saudi ke atas Yaman.

Menurut Liew, Malaysia menugaskan 42 pegawai tentera ke Riyadh, Arab Saudi pada April 2015 untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman namun beberapa bulan selepas itu bertukar menjadi misi logistik.

Parlimen diberitahu bahawa Ops Yaman 2 tidak mendapat persetujuan kabinet dan dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada September 2018.

Serangan peluru dan bahan letupan yang dilancarkan tentera gabungan Arab Saudi di Yaman dilapor mengorbankan sekurang-kurangnya 100,000 orang.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/565872

COMMENTS

Wordpress (0)