“Uruskan virus itu bukannya parti kami”, sindir Zahid

“Uruskan virus itu bukannya parti kami”, sindir Zahid

Ahmad Zahid Hamidi menyatakan rasa kesal bercampur hairannya dengan sikap pihak tertentu yang dilihatnya begitu gerun kepada Umno sehingga menghantar “parasit” untuk “menghancurkan” parti tersebut.

Kata Ahmad Zahid kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya memahami dengan baik bahawa ketika ini musuh negara ialah Covid-19 dan bukannya Umno.

“Maka uruskan virus itu, bukannya parti kami. Saya pelik mereka terlalu gentar dengan Umno sehingga lupa laporan harian Covid-19 terus mencatatkan peningkatan ribuan kes (baru),” katanya dalam satu hantaran di media sosial petang ini.

Tambah bekas timbalan perdana menteri itu lagi ketika pihak Perikatan Nasional (PN) gagal menguruskan negara, Umno masih menjadi sasaran untuk dipersalahkan.

“Bimbang dengan kebangkitan Umnokah sehingga menghantar parasit untuk memusnahkan Umno?” katanya lagi.

Bagaimanapun ahli parlimen Bagan Datuk itu tidak memberikan bayangan lanjut siapakah “parasit” yang dimaksudkannya.

Ahmad Zahid juga berkata ahli Umno tidak gilakan kuasa. Justeru katanya dalam situasi sukar kesetiaan dan keikhlasan mereka sangat besar.

Ketika ini juga katanya Umno bukanlah peneraju PN.

Menurut bekas timbalan perdana menteri itu lagi ketika Umno memberikan dukungan membentuk kerajaan selepas Pakatan Harapan dijatuhkan tahun lalu, masih ada pihak di parti lain menghina mereka.

“Melabelkan pimpinan parti ini sebagai binatang – adakah ini amalan yang mulia di bulan Ramadan?” katanya.

Kenyataan itu memang tidak menyebut mana-mana nama, namun ia jelas merujuk kepada pandangan dilontarkan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman yang sebelum ini menyindir Umno dengan mengaitkannya dengan kumpulan “kluster mahkamah”.

Faiz juga berkata walaupun ada individu sudah dijatuhi hukuman bersalah kerana rasuah, kluster mahkamah Umno itu masih tidak malu untuk bercakap mengenai soal agama dan bangsa.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/572248