Ura-ura MIC pula ‘dipancing’ supaya tinggalkan BN, Presiden nafi

Ura-ura MIC pula ‘dipancing’ supaya tinggalkan BN, Presiden nafi

MIC pada Isnin menafikan dakwaan kononnya parti itu sedang dipancing meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai blok politik lain.

Presidennya Tan Sri S.A Vigneswaran berkata, sebaliknya parti itu kekal dengan pendirian untuk bersama BN dan pada masa sama berharap gabungan itu boleh bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Saya nak beritahu secara berterus terang, tak ada jala atau pancing kepada kita untuk disuruh sertai mana-mana (gabungan) parti (yang lain).

“Memang kita nak bersama BN dan mudah-mudahan, BN juga akan bersama-sama dengan PN dalam menghadapi PRU15 walaupun bertanding di bawah tiket BN atau PN harap kerjasama ini dikekalkan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di sini.

Mengambil contoh hubungan UMNO dan PAS, Vigneswaran percaya BN dan PN juga boleh bersama.

“Pas kini dalam kerajaan dan juga PN. UMNO sudi bekerjasama dengan PAS dan ada kemungkinan BN pun boleh bekerjasama dengan PN,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) 2019 dan 2020 MIC, beliau berkata ia akan diadakan pada 3 April ini di Klang, Selangor.

Beliau berkata AGM berkenaan akan dijalankan secara hibrid yang menggabungkan kehadiran secara fizikal dan juga maya, dengan pematuhan ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Beliau menjelaskan seramai 400 perwakilan akan menyertai secara fizikal dan baki 400 perwakilan mengikuti AGM itu secara maya.

Selain itu, Vigneswaran berkata pemilihan bagi jawatan presiden parti itu dijangka akan diadakan pada Jun ini, selepas selesai pemilihan cawangan yang akan berlangsung dari 5 April hingga 5 Mei ini.

Beliau juga berkata pemilihan bagi jawatan tertinggi lain parti itu, akan diadakan kemudian bergantung pada keadaan semasa negara.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/128589/BERITA/Politik/MIC-nafi-tinggal-BN-tidak-dipancing-sertai-blok-lain