UNICEF beri peringatan kepada semua tentang risiko jangkitan Covid-19 kepada kanak-kanak

UNICEF beri peringatan kepada semua tentang risiko jangkitan Covid-19 kepada kanak-kanak

Data terkini berhubung jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak di negara ini merupakan amaran kepada semua pihak supaya mempertingkatkan pelbagai langkah berjaga-jaga mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan memastikan persekitaran selamat untuk semua.

Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia serta Wakil Khas badan dunia itu ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata masyarakat perlu terus mencari kaedah baharu dan inovatif bagi melindungi kanak-kanak di negara ini.

“Tindakan atau kealpaan kita berhubung langkah keselamatan COVID-19 kini memudaratkan anak-anak kita. Sudah tiba masanya untuk kita menghentikannya tetapi kita masih boleh mengubah haluan.

“Masa depan jutaan kanak-kanak bergantung terhadap tindakan yang kita lakukan hari ini. Mari kita bersama-sama memastikan keselamatan mereka,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dan bayi menimbulkan kebimbangan memandangkan mereka merupakan golongan berisiko dijangkiti selepas warga emas.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen pembangkang Yeo Bee Yin berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan perlu meningkatkan kadar vaksinasi pada purata kira-kira 250,000 dos sehari bermula 1 Julai ini supaya sasaran mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini menjadi kenyataan.

“Bagaimanapun, sama ada kita mampu mencapai definisi imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak begitu penting sama ada pelaksanaan program vaksinasi kita mampu memutuskan rantaian jangkitan dan mengurangkan jumlah kes positif.

“Persoalannya, dengan jumlah dos terhad yang diberi setiap hari, apakah jalan terbaik dapat membantu kita mengurangkan jumlah kes positif?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Penerangan MCA Chan Quin Er berkata rakyat memerlukan maklumat atau informasi yang jelas berkaitan pandemik COVID-19 khususnya dalam memahami perkembangan terkini program vaksinasi.

Beliau berkata antara solusi berkesan dalam menjadikan maklumat itu dapat disampaikan dengan lebih jelas adalah dengan mempamerkan statistik jumlah kadar vaksinasi harian secara langsung serta garis masa pembekalan vaksin.

“Maklumat ini boleh diintegrasikan dalam aplikasi MySejahtera dan seterusnya membolehkan rakyat memahami kedudukan Malaysia dalam usaha menangani wabak COVID-19.

“Setakat mana status kita dalam mencapai sasaran 70 peratus imuniti berkelompok? Apakah halangannya? Adakah ia disebabkan masalah pembelian ataupun keengganan rakyat untuk menerima suntikan vaksin? Mungkinkah juga disebabkan kedua-dua faktor ini? Atau adakah wujudnya masalah-masalah lain?,” katanya.

Setakat semalam, seramai 1,647,183 individu telah menerima dos pertama dan 935,865 individu telah melengkapkan dua dos suntikan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah 2,583,048 dos.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangkitan-covid19-dalam-kalangan-kanakkanak-amaran-buat-semua-pihak-unicef-malaysia-299972