Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (KANUN) memandang berat kenyataan Pengerusi SPR berkaitan penangguhan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik dan isu pengundi umur 18. Inisiatif ini telah dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan disokong oleh dua pertiga majoriti ahli ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun 2019 termasuklah oleh para menteri sekarang.
Pindaan itu juga telah mendapat perkenan YDPA dan telah diwartakan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603). Walau bagaimanapun seksyen 1(2) Akta A1603 itu menyatakan bahawa penguatkuasaan pendaftaran pemilih secara automatik dan undi 18 akan melalui proses pewartaan kuatkuasa oleh YDPA (atas nasihat kabinet).
KANUN berpandangan kegagalan pewartaan ini menunjukkan kerajaan PN ini gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dan sekaligus mencabul peruntukan Perlembagaan yang telah dipinda. KANUN hairan apakah kerajaan sedia ada ini begitu lemah dan daif sehingga tidak mampu untuk menguruskan hal-hal teknikal berkaitan perlaksanaan itu padahal kerajaan PN sekarang begitu berbangga dengan tahap digitalisasi rakyat. Apakah institusi seperti SPR begitu lemah untuk bekerjasama bagi mensinergi data dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan membuat persiapan untuk penambahan pegawai SPR yang bertugas semasa hari mengundi?
Oleh kerana kerajaan PN yang ada ini tidak berhasrat untuk mempertahankan Perlembagaan seperti mana yang dikehendaki dalam sumpah sebelum seseorang menjawat jawatan Menteri maka KANUN menyeru semua rakyat Malaysia untuk menolak kerajaan PN ini dalam PRU 15.
Perlembagaan adalah undang-undang tubuh Malaysia dan mana-mana pihak yang membelakangkan Perlembagaan patut dilucutkan jawatan mereka.
KANUN merafak sembah memohon perkenan YDPA untuk campur tangan dalam hal ini dan memanggil Menteri Undang-Undang serta Pengerusi SPR bagi memastikan kedaulatan Perlembagaan tetap terpelihara.
Dr. Zulqarnain Lukman
Pengerusi KANUN (Biro Undang-Undang)
Parti Amanah Negara
Sumber: