Undi 18 adalah berpandukan demokrasi ciptaan barat, kata Hadi

Oleh MHDAILY

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyokong langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran mengundi secara automatik.

Menurut Abdul Hadi, penetapan mengundi pada umur 18 tahun adalah berpandukan kepada konsep demokrasi ciptaan Barat.

“Undi bergantung kematangan. Jangan undi 18 tahun sahaja, mestilah ada kematangan.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Kita tak boleh terpengaruh dengan Barat.

“Dalam Islam kita sebut ‘sinnu rusydi- tahun kematangan. Kematangan boleh berlaku 16 tahun, 18 tahun. Boleh berlaku 25 tahun, orang umur 40 tahun tak matang pun ada.

“Tapi malangnya kita berpandu kepada konsep demokrasi Barat, pada umur bukan kematangan.

“Dengan sebab itu perlu dibuat pertimbangan pada kematangan bukan kepada umur sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah secara dalam talian di Masjid Rusila di Marang, Terengganu, hari ini.

SPR semalam memaklumkan akan menangguhkan Undi 18 kepada September tahun depan, meskipun menteri undang-undang Takiyuddin Hassan sebelum ini pernah mengatakan ia dijangka dilaksanakan pada Julai.

SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan persiapan untuk menurunkan had usia mengundi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata penangguhan pelaksanaan Undi 18 tidak akan memberi kesan kepada PAS.

Pemuda PAS mahu Undi 18 disegerakan

Bagaimanapun, kenyataan Abdul Hadi itu bercanggah dengan pendirian yang diambil oleh Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Khairil dalam satu kenyataan melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan SPR menunda pelaksanaan Undi-18 dan pendaftaran pengundi secara automatik.

Katanya, Pemuda PAS memahami bahawa SPR memerlukan lebih banyak masa untuk mengemaskini senarai daftar pemilih kerana ia perlu dilaksanakan bersama pendaftaran pemilih automatik.

Namun, katanya Pemuda PAS merasakan usaha ke arah tersebut mesti dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah.

“Justeru itu, Pemuda PAS menawarkan diri untuk menghulurkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan yang terlibat bagi memastikan persediaan menyeluruh dalam mempercepatkan proses ini,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/568201