Umno tangguh mesyuarat khas MKT malam ini.Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi Umno yang dijadualkan malam ini telah ditangguhkan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.
“Ya,” katanya ringkas kepada FMT ketika ditanya mengenai penangguhan mesyuarat khas berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sebab penangguhan mesyuarat itu.
Semalam, Ismail mengadakan pertemuan tertutup dengan Ahli Parlimen Umno di Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur.
Antara yang menghadiri mesyuarat tertutup itu adalah Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, Presiden MCA Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kota Tinggi Halimah Mohamed Sadique.
Bagaimanapun, Ismail enggan mengulas mengenai tujuan perjumpaan itu.
Petang tadi, Ismail selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Sultan Abdullah memberi perkenan terhadap pelantikan itu yang selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.
Semalam, Istana Negara dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkannya, sekali gus mendapat jumlah majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Beliau yang juga Naib Presiden Umno dilantik sebagai Perdana Menteri baharu menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada Isnin lalu.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/21/mesyuarat-khas-mkt-umno-malam-ini-ditangguhkan/