Umno sokong tindakan Ismail lantik Muhyiddin pengerusi MPN – Zahid

Makkal Sakti

UMNO telah membuat pendirian menyokong pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Ini bermakna, UMNO menyerahkan kebijaksanaan kepada Ismail Sabri dalam membuat keputusan atau kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian parti juga boleh ditakwilkan bahawa perdana menteri yang mengetuai kerajaan hari ini, mempunyai kuasa-kuasa Perlembagaan.

Umno sokong tindakan Ismail lantik Muhyiddin pengerusi MPN - Zahid

Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab Ismail Sabri untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

“Saya menerima banyak pertanyaan, bahkan sempat membaca pelbagai komen bertanyakan mengenai apakah pendirian UMNO dalam pembentukan Jemaah Menteri dan pelantikan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

“Maka, itulah jawapan saya. Parti telah membuat pendirian menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau membuat keputusan yang dirasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

“UMNO konsisten dalam pendiriannya. Kita telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara,” katanya menerusi hantara Facebooknya, pagi ini.

Menurut Ahmad Zahid yang merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri, itulah semangat dan prinsip demokrasi yang wajar disuburkan.

Kerajaan katanya, ada peranan dan tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan rakyat, manakala parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat.

“Selaku ketua parti, saya akan terus berusaha memperkasakan UMNO selaras dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Fokus kita tidak pernah lari daripada untuk terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau menjelaskan, dua mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepadanya dan barisan pengemudi parti melalui ketetapan PAU dan MKT termasuklah;

Pertamanya, kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat.

Justeru sebagaimana diputuskan dalam MKT lepas dan berpedomankan titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik Covid-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok dicapai, maka Pilihan Raya Umum ke-15 perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

Keduanya, kehendak akar umbi yang mengkehendaki agar kerusi tradisi UMNO dan kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi.

Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya setelah Parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang.

Untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, Kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini, manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat.

“Terlalu banyak hikmah Allah takdirkan UMNO hilang kuasa pada PRU lalu untuk kita muhasabahkan. Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan.

“Kepada Allah jualah kita berserah dan mengharapkan petunjuk demi meneruskan agenda perjuangan untuk membela rakyat dan mensejahterakan negara,” katanya.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/09/08/pelantikan-muhyiddin-pengerusi-mpn-umno-serah-kebijaksanaan-kepada-pm-zahid/

BACA JUGA : Ismail Sabri patut jadi pengerusi MPN jika serius selamatkan ekonomi