Umno Selangor tetap tidak mahu berkompromi dengan Bersatu

Umno Selangor tetap tidak mahu berkompromi dengan Bersatu

UMNO Selangor sekali lagi mengulangi pendirian untuk tidak berkompromi bagi memberi kerusi kubu kuat mereka kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun berkata, parti Melayu itu bersedia untuk menyokong dan membantu Bersatu di mana-mana kerusi bukan pilihan UMNO.

Beliau berkata, UMNO Selangor juga akan mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru antara gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Selain itu, UMNO Selangor tidak akan bertembung dengan mana-mana kerusi Pas pada PRU15 nanti,” katanya menerusi Facebook beliau pada Ahad.

Pada 23 Disember lalu, Noh memberi peringatan kepada Bersatu agar tidak mengganggu kawasan yang dimenangi UMNO pada PRU14.

Katanya, UMNO Selangor hanya mengiktiraf Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama Pas sebelum ini.

Sinar Harian pada Ahad turut melaporkan mengenai prinsip UMNO Perak seperti mana dinyatakan Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad yang tidak akan berkompromi dengan Bersatu berhubung kerusi dimenangi mereka sebelum ini.

Sementara itu, mengulas lanjut, Noh berkata, pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada UMNO Perak yang dilihat senada dengan pimpinan parti itu di Selangor berhubung perkara tersebut.

“Saya yakin inilah prinsip yang kita pertahankan selama ini. Jelas,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123863/BERITA/Politik/UMNO-Selangor-ulang-pendirian-enggan-kompromi-dengan-Bersatu