Umno mesti terus teguh dengar suara akar umbi

Umno

Suhu kehangatan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini semakin terasa.

Ia susulan pertemuan membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu.

Menurut laporan UMNO-Online, pertemuan yang berlangsung di kediaman Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li itu turut memutuskan beberapa perkara antaranya UMNO mesti tegas mendengar suara akar umbi.

Katanya, itu antara agenda pertemuan tiga pemimpin UMNO yang sememangnya diketahui ‘tidak mesra’ Perikatan Nasional (PN)

“Apa yang diputuskan oleh akar umbi, UMNO mesti tegas mendengar dan melaksanakan amanah akar umbi tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga, mereka turut membincangkan bahawa PAU merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan parti dan meneruskan kesinambungan solidariti dalam kalangan ahli serta pimpinan pelbagai peringkat.

Turut dibincangkan adalah mengenai Muafakat Nasional (MN) di mana parti itu akan melihat kepada senario semasa dan sebarang keputusan yang diambil mestilah berpaksikan kepada suara UMNO.

“Agenda ekonomi juga turut dibincangkan dalam pertemuan ketiga-tiga pemimpin itu, ” katanya.

Pada Rabu, Ku Li berkongsi gambar di Twitternya bahawa beliau menerima kunjungan Ahmad Zahid dan Najib di kediamannya.

“Menerima kunjungan dari Datuk Seri @DrZahidHamidi dan Datuk Seri @NajibRazak,” katanya menerusi satu ciapan di akaun Twitternya.

Pada 5 Mac lalu, Ku Li menggesa pemimpin UMNO untuk berhenti ‘main wayang kulit’ dan memutuskan hubungan dengan kerajaan PN dengan segara.

Ahli Parlimen Gua Musang itu mencadangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO segera bermesyuarat dan meminda keputusan mahu bersama kerajaan PN sehingga Parlimen dibubar.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/130199/BERITA/Politik/UMNO-mesti-tegas-dengar-suara-akar-umbi-tanpa-kompromi

COMMENTS

Wordpress (0)