Ucapan ‘I’ll be back’ cetus spekulasi Peja bakal kembali sebagai MB Perak, ini penjelasan….

Oleh MHDAILY

“Saya hanya bergurau, saya bukan mahu ambil semula kerusi MB Perak. Saya nak tegur rakan media bila bergurau dalam laporan kenalah tulis ia secara bergurau,” kata Timbalan Presiden PPBM Ahmad Faizal Azumu.

Bekas menteri besar Perak itu berkata, ucapannya yang memetik kata-kata pelakon Arnold Schwarzenegger dalam filem “Terminator, I’ll be back” dan frasa perkataan itu bukannya merujuk yang beliau akan mengambil semula kerusi menteri besar.

Katanya, dalam ucapan pada satu majlis bersama PPBM di Sabah itu beliau tidak memaksudkan akan kembali menggalas jawatan menteri besar sebaliknya mahu menjelaskan akan terus berkhidmat sebagai ahli politik, tidak semestinya sebagai menteri besar.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Beliau berkata, kerajaan sedia ada bawah pimpinan menteri besar daripada Umno, Saarani Mohamad sudah merencana perkara yang baik untuk kebajikan rakyat dan usaha itu seharusnya disokong.

“Enough politik, lagi pula saya fikir kerajaan (Perak) yang ada sekarang ini patut diberi sokongan untuk pastikan kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada warga Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Mes Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor.

Isnin lalu, laporan media menyebut Faizal membayangkan akan kembali menjadi pemimpin nombor satu negeri itu selepas meletak jawatan pada 5 Dis lalu.

Perkara itu dinyatakan dalam ucapannya ketika majlis sambutan ulang tahun PPBM Sabah di Kota Kinabalu.

“Satu-satunya negeri yang dipimpin oleh (pemimpin) PPBM adalah di Sabah selepas menteri besar Perak direhatkan sebelum ini.

“Tapi seperti kata (filem) ‘Terminator, I’ll be back’.

“Sebenarnya, perkara ini (dakwa mahu kembali jadi menteri besar) bermula dari laporan tidak tepat rakan media, saya harap kita mesti bertanggungjawab, ia bukan cerita besar pun, dalam ucapan saya panjang tetapi apa yang saya gurau itu pula yang keluar (dilaporkan),” katanya.

Sementara itu, Faizal berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan naib presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar Jumaat ini bagi membincangkan agihan kerusi membabitkan PPBM dan PAS negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, kedua-dua parti sebelum ini sudah membuat keputusan untuk membentuk kerjasama bersama parti gabungan lain dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya mewakili PPBM dan Ahmad Samsuri mewakili PAS akan duduk semeja membincangkan soal pembahagian kerusi antara PAS dan PPBM di Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.

“Sebelum ini (perbincangan agihan kerusi Parlimen) kami sudah menyelesaikan kira-kira 20% daripada 222 kerusi Parlimen,” katanya.

Terdahulu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Rosol Wahid berkata, proses pengagihan kerusi parti itu dan PAS, khususnya di Terengganu, kini menjadi lebih mudah selepas Umno menolak kerjasama dengan parti pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin itu pada PRU15.

Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, pada Perhimpunan Agung Umno akhir bulan lalu mendakwa, tiada istilah “muafakat” di negeri berkenaan antara partinya dengan PAS, walaupun di peringkat pusat kedua-dua parti Melayu-Islam itu secara rasmi menjalinkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional sejak Sept 2019.

Ahmad berkata, perkara ini dapat dilihat apabila kerajaan Terengganu pimpinan PAS tidak bersikap adil terhadap wakil rakyat dari Umno, termasuk dirinya, yang dipinggirkan selepas kerajaan negeri langsung tidak mengagihkan peruntukan RM10 juta yang disampaikan kerajaan persekutuan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/07/saya-hanya-bergurau-bukan-mahu-ambil-balik-kerusi-mb-kata-faizal/