Ucapan akhir Hamid sebagai KPN, masih timbul kegusaran tinggalkan polis

Oleh MHDAILY

Pada hari terakhir perkhidmatannya sebagai pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia, Abdul Hamid Bador menyatakan, di sebalik ruang untuk dia menikmati masa berkualiti, masih ada yang terbuku di hatinya.

Katanya ada “kegusaran” yang tersimpan ketika dia melangkah meninggalkan pasukan keselamatan tersebut.

“Walaupun pada zahirnya saya kelihatan gembira dan berasa lega kerana dapat menikmati kembali masa berkualiti yang telah saya korbankan selama ini.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Namun, jauh di sudut hati saya merasa gusar untuk meninggalkan pasukan yang masih bergelut dengan persepsi yang tidak berkesudahan dan terus menerus dihukum oleh court of public opinion (mahkamah pandangan umum) yang tidak berkesudahan dan terus menerus dihukum public opinion (pandangan awam),” katanya.

Bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang pernah ditukarkan 24 jam ke Jabatan Perdana Menteri suatu ketika dulu itu berkata demikian pada majlis serah terima tugas jawatan ketua polis negara dan pengerusi Perkep di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Penyerahan tugas disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Ismail Mohamed Said yang mewakili Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.

Pada Jumaat lalu Abdul Hamid secara terbuka mengakui hubungan dia dan Hamzah adalah tidak baik ekoran beberapa kejadian didakwa sebagai campur tangan orang politik dalam urusan dalaman PDRM.

Abdul Hamid juga mengakui sebahagian masanya sebagai ketua polis negara juga dihabiskan untuk membetulkan pelbagai kepincangan yang ada dalam PDRM, termasuk amalan rasuah.

Dalam amanat terakhirnya hari ini juga Abdul Hamid mengingatkan seluruh anggota dan pegawai PDRM agar untuk terus berkhidmat sebaik mungkin.

Katanya setiap anggota PDRM perlu melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh berintegriti, amanah dan berpegang kepada dasar amar makruf dan nahi mungkar (menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan).

“Ya, kita tak mungkin boleh memuaskan hati semua 32 juta rakyat Malaysia tetapi kita boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan melaksanakan tugas dengan berintegriti serta sentiasa berpegang kepada amar makruf dan nahi mungkar.

“Ingatlah malaikat Raqib dan Atid akan sentiasa berada di kiri dan kanan kita untuk mencatat segala amalan baik dan buruk yang menjadi bekalan kita yang akan dihisab di alam akhirat nanti,” katanya.

Abdul Hamid berkata, persaraan bukan bermakna dia akan terus melupakan pasukan polis selepas empat dekad berkhidmat dalam pasukan berkenaan.

“Selepas empat dekad, tibalah masa untuk saya berundur. Meskipun saya akan kembali ke alam persaraan namun darah Sang Saka Biru masih mengalir dalam diri dan saya akan berjuang dengan cara sendiri,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid dalam sidang medianya berkata dia menyerahkan kepada penggantinya, Acryl Sani Abdullah Sani, untuk menyiasat dakwaan campur tangan menteri dalam urusan PDRM.

“Saya dah buat pendedahan dan saya rasa saya biarkan pegawai PDRM untuk buat (siasatan) susulan.

“Tidak semestinya saya perlu buat laporan seperti diminta oleh menteri,” katanya

Berita Penuh :https://m.malaysiakini.com/news/573141