Ubahsuai Seri Perdana : Umno usah berlagak suci, ini kerajaan yang sama

Ubahsuai Seri Perdana : Umno usah berlagak suci, ini kerajaan yang sama.Sesiapa yang sebelum ini menyebarkan berita bahawa kos ubahsuai Seri Perdana adalah sebanyak RM30 juta, ternyata mereka itu telah melakukan fitnah terhadap kerajaan.

Kos yang sebenarnya bukanlah RM30 juta, tetapi RM38.5 juta iaitu lebih tinggi daripada angka yang difitnahkan itu.

Maka, sebelum dapat surat saman, baik cepat-cepat buat pembetulan serta minta maaf kepada kerajaan.

Dengan kos ubahsuai sebanyak RM38.5 juta itu, manakala kos asal pembinaan Seri Perdana itu sendiri pada 1997 lalu hanya RM24 juta, tentu kita dapat membayangkan betapa hebat hasil pengubahsuaian tersebut.

Macam kita beli beli rumah dengan harga RM500 ribu, tetapi beberapa tahun kemudian kita mengubahsuainya dengan kos RM700 ribu iaitu lebih tinggi daripada harga membeli rumah itu, sudah tentulah rumah kita itu menjadi yang terhebat di persekitaran tempat kita tinggal.

Begitulah juga dengan Seri Perdana ini, kalau dengan kos RM24 juta membinanya saja kita sudah dapat rasakan gahnya kediaman untuk Perdana Menteri itu, maka tentulah dengan kos ubahsuai RM38.5 juta itu akan menjadikan Seri Perdana jauh lebih gah, megah dan gemerlapan lagi.

Ubahsuai

Dilaporkan juga, kelulusan projek ubahsuai itu telah diluluskan pada Mac lalu dan sehingga ini kerja-kerja yang dijalankan sudah mencapai tahap siap sebanyak 74 peratus.

Dijangka ia akan siap sepenuhnya pada awal Disember ini.

Bermakna, walaupun berita mengenai ubahsuai Seri Perdana ini hanya diketahui berdasarkan jawapan bertulis Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di Parlimen awal minggu ini, tetapi ia sebenarnya telah diluluskan ketika era kekuasaan Mahiaddin Md Yasin lagi.

Adakah ini bermakna Mahiaddin sebenarnya ingin berkuasa lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri dan memang ingin tinggal di Seri Perdana?

Jika beliau tidak ingin tinggal di situ, untuk apa Seri Perdana diubahsuai dengan kos sebanyak itu?

Tambahan lagi, dengan antara alasan kerja ubah suai itu diwajarkan ialah untuk memberi lebih keselamatan kepada Perdana Menteri serta menukar perabotnya yang didakwa sudah usang, bukankah ia bermakna memang Mahiaddin ada hasrat tinggal di Seri Perdana?

Cuma, oleh kerana beliau kemudian terpaksa meletak jawatan pada 16 Ogos lalu, tak tercapailah hasratnya itu.

Akhirnya, yang untung ialah Ismail Sabri yang dapat duduk di Seri Perdana tidak lama lagi dalam keadaan kediaman itu telah siap diubahsuai dengan sentuhan kemewahan seumpama pengantin lepas bersanding dapat masuk ke rumah yang serba baru.

Sebab itu, walaupun kelulusan dilakukan ketika era kekuasaan Mahiaddin, UMNO dan para pemimpinnya tak usahnya mengutuk lebih-lebih berkenaan ubahsuai Seri Perdana itu.

Tidak wajar juga untuk UMNO mengelak seolah-olah mereka tidak terpalit dengan beban projek ubahsuai itu.

Selain Perdana Menteri daripada UMNO sendiri yang dapat nikmatnya, kelulusannya juga dilakukan oleh kerajaan sama yang diwarisi Ismail Sabri sekarang.

Oleh kerana Ismail Sabri adalah mewarisi kerajaan Mahiaddin, bahkan anggota kabinetnya hampir 100 peratus sama, tanggunglah juga bebannya bersama-sama

Berita penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/09/30/umno-jangan-kutuk-lebih2-ubahsuai-seri-perdana-dilakukan-kerajaan-yang-sama.html

BACA: Lokman Adam kembali ke pangkuan Umno

COMMENTS

Wordpress (0)