Tuan Ibrahim cadang P.Pinang beri sumbangan kewangan kepada Kedah

Tuan Ibrahim cadang P.Pinang beri sumbangan kewangan kepada Kedah

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man menggalakkan Pulau Pinang memberi sumbangan kewangan atas “pengorbanan” Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Beliau berkata, kementeriannya menyambut baik komitmen Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tidak meneroka Ulu Muda yang merupakan kawasan tadahan air penting buat Kedah dan Pulau Pinang.

Beliau berharap Kedah serta Pulau Pinang dapat mencapai situasi menang-menang atau manfaat bersama bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar serta jaminan sumber air.

“Selain itu, mana-mana kawasan pembalakan yang telah diluluskan sebelum ini, melibatkan kawasan tadahan air turut diberi jaminan oleh beliau (Sanusi) akan diganti dengan kawasan lain.

“Atas pengorbanan besar kerajaan Kedah, alangkah baiknya sekiranya Pulau Pinang yang mendapat manfaat banyak itu dapat menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah yang telah berkorban untuk kawasan tadahan air bagi memastikan negeri memerlukan sumber air terjamin,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) mengenai tindakan dan perancangan Kementerian Alam Sekitar dan Air memelihara kawasan tadahan air di Ulu Muda, termasuk mengelakkan pencemaran di Sungai Muda.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang menyambut baik jaminan kerajaan Kedah tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang dilaporkan berkata, pihaknya berpegang kepada jaminan itu demi kepentingan bekalan sumber air mentah bagi keperluan 4.2 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/15/p-pinang-digalak-beri-sumbangan-kewangan-atas-pengorbanan-kedah-kata-menteri/