Total Lockdown : PH kemuka 7 tuntutan ringankan beban sara hidup rakyat

Pakatan Harapan (PH) menyokong keputusan kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau “total lockdown” fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun ini.

Dalam kenyataan bersama Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP, memaklumkan sokongan itu, tetapi mahu kerajaan memenuhi tujuh tuntutan bagi meringankan beban rakyat.

Antaranya ia mahu kerajaan memberi bantuan “one off” kepada golongan B40 dan M40, melaksanakan moratorium pinjaman bank selama 3 bulan serta memberi rebat utiliti elektrik.

“Kerajaan juga perlu memastikan bekalan barangan keperluan harian yang mencukupi, memastikan harga barang keperluan tidak naik, memastikan penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang dan memastikan bantuan berupa bakul makanan sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama selama 14 hari bermula 1 Jun ini.

Dalam kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi, kecuali aktiviti dan perkhidmatan ekonomi perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini berikutan keadaan wabak Covid-19 yang semakin buruk dan angka kematian melebihi 50 orang yang dicatatkan setiap hari di seluruh negara.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/29/ph-sokong-total-lockdown-kemuka-7-tuntutan-ringan-beban-rakyat/