Titah Agong jadi mimpi ngeri buat Perikatan Nasional

Oleh MHDAILY

Titah Agong jadi mimpi ngeri buat Perikatan Nasional. SEPERTI yang dijangka, ‘ribut politik’ negara kembali membadai tidak sampai seminggu selepas titah Yang di-Pertuan Agong untuk menyegerakan pembukaan Parlimen.

Walaupun, titah tersebut dilihat sangat baik dalam usaha menyemarakkan kembali amalan demokrasi di Malaysia di samping membolehkan ada semak imbang dalam setiap tindak tanduk kerajaan untuk memerangi Covid-19

.Titah Agong

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Bagaimanapun, mimpi ngeri kerajaan Perikatan Nasional telah mula kelihatan.

Bukan rahsia lagi, ahli Parlimen blok pembangkang akan menjadikan agenda menilai kembali keabsahan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai misi utama.

Kalau tidak mana mungkin, Jawatan Perundangan Pakatan Harapan membuat rayuan kepada Al-Sultan Abdullah untuk mengesahkan sama ada keingkaran Perdana Menteri untuk segera mengadakan sidang parlimen disokong oleh majoriti Ahli Parlimen.

Rayuan tersebut dalam erti kata lebih tepat sebenarnya salah satu cara untuk meminta Muhyiddin meletakkan jawatan jika tidak cukup undi.

Namun begitu, ternyata kerajaan Muhyiddin bukan hanya ibarat ‘ditumbuk’ di sebelah kiri. Agak malang, Muhyiddin juga ‘ditumbuk’ di sebelah kanan oleh UMNO yang sebenarnya adalah sebahagian daripada kerajaan.

UMNO melalui Biro Politik memberi kata dua kepada kerajaan Muhyiddin agar segera membuka Parlimen.
Tidak hairanlah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada pagi Isnin pantas menggunakan ketetapan daripada Biro Politik untuk memberi kata dua yang dianggap provokasi kepada Muhyiddin agar segera membuka Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Walaupun ada sesetengah pihak melihat kenyataan Zahid agak keterlaluan, apatah lagi membelakangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, namun sebahagian lagi berpendapat ia adalah wajar apatah lagi sudah enam bulan Parlimen Malaysia sunyi sepi.

Bagi yang melihatnya dari sudut politik, ia seakan bagi memberi petanda awal hubungan UMNO dan PN sudah di hujung tanduk.

Bagi orang kebanyakan, usul itu ditunggu-tunggu kerana isu rakyat dan negara akan diperbahaskan di Parlimen dalam masa terdekat.

Bagi Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dia melihat notis 14 hari daripada Biro Politik UMNO itu sebagai suatu yang sangat tepat dan tulus.

Katanya, perkara tersebut mencerminkan ketulusan dalam menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan isu melibatkan ‘darurat’ ditamatkan pada 1 Ogos ini.

Menurutnya, perkara sama tersebut bukan kali pertama pihak istana bertitah soal sidang Parlimen, sebaliknya sejak Februari lalu lagi.

Sehubungan itu katanya, tindakan Biro Politik UMNO berhubung notis 14 hari itu adalah tidak salah.

“Tidak ada masalah kerana biasanya Biro Politik membincangkan secara khusus hal-hal yang berkaitan dasar dan tindakan parti. Saya menghormatinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, dasar besar telah dibuat di dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) yang lepas dengan memberi mandat kepada Presiden parti dan MKT.

Sehubungan itu katanya, saranan Biro Politik UMNO yang dibuat semalam itu adalah bersifat kebijaksanaan Presiden yang mendapat panduan daripada Biro Politik atas perkara semasa yang spesifik.

Tegasnya lagi, titah Yang di-Pertuan Agong perlu disegerakan dan dilaksanakan oleh barisan kepimpinan kerajaan sedia ada.

Katanya, sekiranya tiada langkah dibuat oleh kerajaan, maka perlu ada satu keputusan yang lebih besar dibuat oleh parti dan wajar ditentukan di peringkat MKT.

“MKT berhak mempersoal dan menyokong apa sahaja cadangan. Namun semuanya terpulang kepada keputusan bersama.

“Sekiranya tidak bersetuju dengan cadangan Biro Politik ini, ia perlu diputuskan di peringkat MKT, selain perlu melihat apa tindakan kerajaan di atas saranan dua minggu yang disarankan oleh Biro Politik itu dahulu,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kesan daripada kata dua daripada Biro Politik UMNO tersebut, Ahmad Shabery berkata, perkara itu terletak di tangan kerajaan PN itu sendiri.

Jelasnya, justifikasi gantung parlimen sangat lemah dan tidak ada negara di dunia menggantung sidang Parlimen kerana pandemik Covid-19 sehingga selama enam bulan.

“Selepas Parlimen digantung pun Covid masih tidak selesai. Rakyat makin susah dan banyak perkara hendak disuarakan kepada siapa?

“Sudah enam bulan. Semua Ahli Parlimen sudah mendapat vaksinasi lengkap. Apakah sidang parlimen kurang selamat berbanding kilang dan sekolah yang dibuka dahulu?,” soalnya.

Ditanya sekiranya PN tidak bersetuju dengan kata dua daripada notis 14 hari itu, adakah UMNO akan menarik sokongan seterusnya kerajaan PN akan tumbang, beliau menjawab ringkas bahawa perkara itu akan ditentukan oleh MT UMNO nanti.

Pembangkang, UMNO mahu buka segera

Sementara itu, bagi pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P. Sivamurugan, beberapa pemimpin UMNO dan pembangkang memang dari awal mahu sidang Parlimen disegerakan.

Katanya, notis dua minggu daripada Biro Politik UMNO itu kemungkinan adalah mesej kepada Perdana Menteri selaku Ketua Dewan, sekali gus menunjukkan UMNO serius untuk melihat Parlimen kembali dibuka.

Namun begitu katanya, persetujuan yang dicapai dalam Biro Politik UMNO akan dibawa ke Mesyuarat Khas MKT untuk tindakan selanjutnya.

“Ini belum menjadi pendirian parti lagi secara rasmi melainkan persetujuan MKT,” katanya.

Politik ‘cair’

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berpandangan bahawa senario dan keadaan sistem politik negara pada masa ini adalah sangat rapuh.

Katanya, keadaan sistem politik pada masa ini seakan-akan tidak wujud kumpulan yang benar-benar mempunyai kelestarian kuasa.

Jelasnya, masyarakat juga boleh melihat dan menilai keadaan sistem politik yang begitu cair pada masa ini, sekali gus mendorong mana-mana pihak atau kumpulan politik mengambil kesempatan untuk berkuasa.

Menurutnya lagi, cara berkuasa sejak bermulanya ekosistem politik baharu itu adalah berbeza berbanding suatu masa dahulu.

“Cara berkuasa pada masa ini adalah dengan berkongsi dari segi jumlah ahli Parlimen menyokong mana-mana dasar atau akta yang mahu diluluskan di Parlimen termasuk usul tidak percaya sekali pun.

“Maka di sini masing-masing akan melihat sokongan yang diberikan dan boleh menjadi penentu kepada teka-teki kumpulan mana yang mempunyai suara majoriti di Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Namun begitu tegas beliau, titah Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu agar sidang Parlimen dilangsungkan adalah isyarat jelas yang mahukan jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi kemudaratan rakyat ekoran pandemik Covid-19.

Menerusi perbahasan di Parlimen jelasnya, agenda rakyat dapat diangkat dan pembangunan ekonomi negara boleh dipacu dengan lebih baik.

“Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sangat memberi perhatian kepada situasi semasa negara ekoran wabak Covid dan kebajikan rakyat secara khususnya.

“Jadi jangan persoal titah Tuanku setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu kerana tiada kepentingan politik pada gesaan tersebut, sebaliknya mahu kebajikan rakyat dijaga dan kelestarian pentadbiran negara berlangsung dengan baik,” ujarnya.

Undang-undang dan SOP

Titah Agong

Sementara itu, bagi pakar perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu, persediaan rapi perlu dibuat bagi memastikan segala urusan Parlimen berjalan secara tersusun.

Langkah pertama katanya, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah dari segi urusan perundangan.

Menurutnya, perkara itu berkaitan dengan warta SOP yang mensyaratkan tiada mesyuarat secara bersemuka.

“Namun begitu, pengecualian harus dibuat bagi membolehkan Parlimen bersidang secara bersemuka,” katanya.

Menurutnya, untuk perkara kedua yang turut berkaitan SOP adalah melibatkan kedatangan kakitangan Parlimen.

Jelasnya, hanya 20 peratus bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.

Tambahnya, sekiranya perlukan kedatangan kakitangan melebihi 20 peratus, pindaan perlu dibuat kepada warta berkaitan untuk mengecualikannya kepada kakitangan Parlimen.

Selain itu menurutnya, SOP berkaitan yang lain seperti tatacara makan, median dan sebagainya perlu juga diperhalusi.

“Selain itu, persediaan dari segi dokumentasi – ini melibatkan kakitangan daripada pelbagai agensi dan ini perlu diurus dengan baik,” katanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan kepada perkara-perkara tersebut, pentadbiran Parlimen perlu memberikan pandangan profesional mereka tentang masa yang perlu diperuntukkan bagi mereka menyediakan prasarana berkaitan.

Jelasnya, perkara tersebut melibatkan prasarana fizikal dan prasarana perundangan.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/145805/ANALISIS-SEMASA/Hubungan-UMNO-PN-kini-dihujung-tanduk