Tidak terima writ saman punca Miqdad tidak membela diri kes saman Dusuki

Tidak terima writ saman punca Miqdad tidak membela diri kes saman Dusuki

Tidak menerima Writ Saman adalah sebab dan punca kenapa Miqdad Zakaria tidak hadir pada perbicaraan kes saman pimpinan Pas terhadapnya tempohari.

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa bersetuju menetapkan taksiran ganti rugi selepas penghakiman engkar direkodkan kerana Miqdad tidak hadir bicara dengan jumlah RM450,000 untuk kedua-dua kes saman fitnah Pengerusi Amanah Marang, Miqdad Zakaria terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Tanpa kehadirannya, Miqdad Zakaria selaku defendan diarah membayar jumlah penuh sebanyak RM450,000 untuk kedua-dua kes saman fitnah kepada Ahmad Dusuki Abdul Rani selaku plaintif.

Penolong Kanan Pendaftar Norina Maludin membuat keputusan itu setelah menilai keterangan oleh plaintif dan hujahan peguamnya sebelum bersetuju dan memberikan taksiran ganti rugi sebanyak RM200,000 bagi ganti rugi am beserta kos untuk kes pertama.Kes kedua pula sebanyak RM200,000 bagi ganti rugi am dan RM50,000 untuk ganti rugi teladan beserta kos.

Ahmad Dusuki diwakili firma Tetuan Srihana Mohamad & Partners melalui peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Wan Srihana Wan Mohamad.

Menurut maklumat yang diterima wartawan kami, Miqdad tidak pernah menerima writ saman kes berkenaan dan beliau hanya mengetahuinya apabila disiarkan oleh media massa. Setelah mengetahui akan hal kes ini, beliau baru sahaja melantik seorang peguam terkenal tanahair untuk membuat permohonan agar kes ini dipanggil untuk dibicarakan semula. Notis Permohonan berkenaan diberitakan akan difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada minggu depan.

Menurut maklumat yang diterima oleh wartawan kami, ini bukanlah kes tunggal yang berlaku sebegini. Di dalam satu kes lagi, Ahmad Dusuki juga telah menyaman Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kubang Kerian, Abdullah Zawawi Abdul Wahab dan juga telah berjaya mendapatkan penghakiman engkar terhadap Abdullah Zawawi kerana Abdullah Zawawi gagal hadir bicara kes berkenaan. Abdullah Zawawi ketka dihubungi oleh wartawan kami menafikan bahawa beliau ada menerima sebarang Writ Saman daripada Ahmad Dusuki dan berasa terkejut bagaimana perkara berkenaan boleh berlaku. Abdullah Zawawi juga kemudiannya telah melantik peguam bagi mewakilinya dan membuat suatu Notis Permohonan bagi menghidupkan semula kes berkenaan.

Selain daripada dua kes ini, Ahmad Dusuki juga memfailkan saman terhadap Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Saudara Hazmi Hassan yang mana di dalam kes berkenaan Hazmi diwakili oleh peguam Faiz Fadzil dan kes telah ditetapkan untuk bicara penuh pada September nanti.