Tiada sekatan untuk rakyat Malaysia yang ingin memohon visa bekerja di ladang Australia

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menjelaskan kerajaan tidak melarang rakyat daripada memohon visa untuk bekerja di ladang di Australia.

Saravanan berkata, kerajaan tidak menyekat rakyat negara ini yang berhasrat untuk bekerja di luar negara tertakluk kepada terma, syarat dan undang-undang negara berkenaan.

Katanya, timbul kekeliruan mengenai perkara itu baru-baru ini selepas timbalannya, Awang Hashim, menjawab pertanyaan mengenai skim pekerja sektor perladangan di Australia di Dewan Negara minggu lalu.

Tiada sekatan untuk rakyat Malaysia yang ingin memohon visa bekerja di ladang Australia

M. Saravanan

Skim itu katanya, diperkenalkan bagi menangani kekurangan pekerja dalam sektor perladangan di Australia, iaitu situasi yang turut dihadapi Malaysia.

“Senario yang berlaku di Australia dan Malaysia agak mirip di mana sektor perladangan yang rata-ratanya melibatkan kerja 3D, iaitu ‘dangerous, dirty and difficult’ menyebabkan ramai pekerja tempatan tidak berminat untuk menceburkan diri dalam sektor tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Saravanan, yang mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Justin Lee mengenai perkara ini bulan lalu berkata, Malaysia tidak akan mengadakan program visa seperti itu bagi pendatang di sini.

“Pendekatan yang diguna pakai oleh Australia tidak akan diikuti oleh Malaysia kerana ia menjurus kepada penawaran sebagai status penduduk tetap.

“Oleh itu, hal ini tiada kaitan sama sekali dengan sekatan untuk rakyat Malaysia bekerja di luar negara termasuk Australia,” katanya.

Skim visa pekerja ladang membolehkan majikan Australia menaja pekerja mahir, separa mahir dan tidak mahir dari rantau ini untuk bekerja di ladang mereka.

Pekerja dibenarkan bekerja di sana selama tiga tahun, kemudian mereka boleh memohon untuk menjadi penduduk tetap Australia.

Awang berkata, kerajaan tidak bercadang mengikut pendekatan Australia bagi meningkatkan tenaga kerja dalam sektor pertanian kerana tumpuan diberikan kepada usaha mengambil pekerja tempatan.

BACA JUGA : Anwar akan dipanggil SPRM berhubung isu pendedahan Kertas Pandora

CATEGORIES