‘Tersalah’ potong kaki warga emas, klinik minta maaf

‘Tersalah’ potong kaki warga emas, klinik minta maaf

Seorang warga emas di Austria terpaksa menanggung derita apabila doktor melakukan kesilapan ketika pembedahan akibat penyakit yang dialaminya.

Dalam kejadian yang berlaku di Klinik Freistadt, Austria pada 18 Mei lepas, doktor bertugas telah membuat kesilapan dan ‘terpotong’ kaki yang salah.

Laporan agensi berita Reuters menyebut bahawa lelaki berusia 82 tahun itu menghidap pelbagai penyakit yang memaksa kakinya dipotong.

Namun sebelum pembedahan dilakukan, doktor terbabit telah terlibat tersilap menanda kaki sebelah mana yang patut dipotong.

“Kami kesal dengan kejadian yang berlaku pada Selasa, 18 Mei terhadap pesakit berusia 82 tahun ini.

“Malangnya kaki kanan pesakit tersebut dipotong apabila kaki kirinya sepatutnya dipotong,” kata klinik tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Mei lepas.

Menurut kenyataan itu lagi, kesilapan tersebut hanya disedari selepas pembalut pada kakinya ditukar pada Khamis, iaitu dua hari selepas pembedahan itu dilakukan.

Menurut portal berita The Guardian, pesakit berkenaan turut tidak menyedari kesilapan itu.

Pengarah Kesihatan klinik berkenaan Norbert Fritsch turut memohon maaf secara terbuka dalam satu sidang media yang diadakan sejurus kejadian.

“Kami akan menyiasat bagaimana kesilapan ini boleh berlaku.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka atas insiden ini,” katanya.

Fritsch turut memberitahu klinik berkenaan akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) di premis berkenaan.

Pesakit berkenaan ditawar sokongan psikologi selepas kesilapan itu dan terpaksa menjalani pembedahan kedua dalam masa terdekat bagi memotong kaki yang sepatutnya.

Ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku.

Pada 2018, doktor di Rusia disiasat selepas didakwa memotong kaki yang salah pada seorang pesakit warga emas berusia 89 tahun.

Menurut anak mangsa, para doktor cuba menutup kesilapan yang dilakukan terhadap Maria Dronova dengan menyatakan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit yang dialaminya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-dunia/doktor-tersilap-potong-kaki-warga-emas-klinik-minta-maaf-299223