Terlalu “complex”, Pelajar PHD ini pening buat kajian politik di Malaysia

Bekas pelajar PhD saya dalam tesisnya telah menolak pandangan sarjana sebelum ini yang menggunakan pendekatan struktural dan institusional untuk menilai kestabilan politik Malaysia.

Ini kerana pendekatan tersebut seperti undang-undang dan perlembagaan, hubungan pusat-negeri, dan institusi kerajaan tidak lengkap untuk menjelaskan senario politik Malaysia.

Dengan menggunakan model McGarry & O’Leary (2009), beliau seterusnya menggariskan lima faktor penting yang menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang stabil politiknya.

Faktor tersebut ialah Staatsvolk, amalan politik permuafakatan, adanya parti yang bersifat nasional, semangat ‘holding together’, dan tradisi politik yang kuat.

Pun begitu, beliau berhujah faktor-faktor tersebut hanya sekadar membolehkan Malaysia ‘mempertahankan’ kestabilannya, tetapi tidak boleh menyelesaikan masalah politik yang dihadapinya.

Oleh itu, beliau menyatakan masalah politik Malaysia ini hanya boleh diselesaikan dengan pendekatan normatif, iaitu pemimpinnya perlu berubah sikap dan tingkah laku politiknya.

Apakah masalah sikap dan tingkah laku pemimpin ini? Sekadar menyebut beberapa, antaranya ialah tindakan politik yang tidak demokratik, mencari keuntungan diri, mengamalkan rasuah, ucapan politik yang mendorong kepada kebencian (vulgar words), sikap dua darjat, bersikap rasis dan gagal meraikan kepelbagaian.

Beliau menyatakan jika pemimpin masih menggunakan isu etnik dan agama untuk meraih sokongan politik, masih lagi rasuah, bersikap double standard, dan tidak mahu berubah mengikut perkembangan semasa, buatlah berapa kali pilihan raya lagipun, Malaysia hanya akan menyaksikan perubahan pemimpin dan kerajaan sahaja, tetapi keadilan, kesejahteraan rakyat, dan kestabilan politik tetap bersifat semu.

Di akhir analisisnya, beliau merumuskan untuk Malaysia stabil politiknya, maju ke depan, dan mampu bersaing di dunia global dan era digitalisasi, negara perlu kepada pemimpin yang mendahulukan negara dari bangsa dan berpemikiran demokratik.

Wahai pemimpin, bersediakah?

Sumber: