TERKINI !!! Polis pantau suhu individu di tempat awam guna dron

Polis Terengganu menggunakan dron bagi mengesan individu dengan suhu badan tinggi yang berada di tempat awam sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dron yang dilengkapi teknologi pengimbas itu mampu mengesan suhu badan dalam kelompok manusia pada jarak 20 meter dari udara.

“Sekiranya dron ini mengesan individu yang mempunyai suhu badan tinggi seperti 37.5 darjah Celsius, ia akan menyalakan lampu merah dan anggota penguatkuasa kita akan segera ke lapangan untuk mengenal pasti individu bergejala itu.

“Dron ini kita telah gunakan sejak dua atau tiga hari lepas dan ia sangat membantu pasukan pemantauan kita. Walaupun kita ada 157 pasukan pemantauan SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Ini menyebabkan mereka tidak dapat memantau semua tempat secara serentak termasuk mengesan individu bergejala yang berada di tempat awam,” katanya kepada pemberita selepas memantau sekatan jalan raya di Jambatan Sultan Mahmud hari ini.

Beliau berkata dron yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu dipinjamkan oleh sebuah syarikat swasta di negeri itu untuk kegunaan pihak polis sepanjang penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Pada April tahun lepas, polis Terengganu pernah menggunakan dron bagi mengesan pergerakan dan suhu badan penduduk di Dungun semasa Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha mencegah penularan COVID-19 di kawasan itu.

Rohaimi juga berkata sejak Sekatan Pergerakan Penuh dikuatkuasakan enam hari lepas, seramai 108 individu telah dikompaun antara RM1,500 hingga RM5,000 kerana melanggar SOP dengan kesalahan paling banyak dikesan melibatkan kegagalan memakai pelitup muka dan tidak mematuhi penjarakan fizikal.

Beliau berkata bagaimanapun, hasil pemantauan pihak polis, kadar pematuhan rakyat Terengganu terhadap penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh ialah kira-kira 96 peratus dan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

Katanya kadar kemasukan kenderaan ke negeri itu melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 juga merosot sebanyak 75 peratus dan kenderaan yang masuk memiliki surat kebenaran dengan kebanyakannya adalah berkaitan perkhidmatan penting.

Rohaimi berkata sejak 31 Mei hingga semalam, polis Terengganu menerima 5,756 permohonan rentas negeri dan daerah namun sebanyak 216 telah ditolak atas pelbagai faktor termasuk gagal menyediakan dokumen sokongan.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/polis-terengganu-guna-dron-pantau-suhu-individu-di-tempat-awam-301888

COMMENTS

Wordpress (0)