Terkini !!! Pencemaran air Selangor, dua ditahan bawah SOSMA

Dua tertuduh kes pencemaran Sungai Gong, Rawang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata pertuduhan di hadapan Hakim Maziah Jothy Tajudin merupakan kes pencemaran air pertama di bawah jenayah terancang.

Katanya, dua orang kena tuduh (OKT) berdepan enam pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 18(1) dan 19(a) Akta Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 61(1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

“OKT turut didakwa di bawah 34A(2) dan 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang semua dibacakan bersama dengan Seksyen 34 KK.

“Hakim bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dan memerintahkan suspek ditahan di penjara Bentong,” kata Datuk Fadzil Ahmat menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang tertuduh turut dihadapkan di Mahkamah Majistret Selayang mengikut Undang-undang kecil 3 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007.

“Kedua-dua mahkamah menetapkan 8 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes,” katanya.

Awal bulan ini, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas akibat pencemaran bau di Sungai Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mensyaki adanya unsur sabotaj selepas siasatan awal mendapati terdapat bahan buangan dikesan di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dan kawasan industri Taman Velox Rawang.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian dalam sidang Dewan Negeri Selangor berkata tandas di premis Taman Velox disyaki menjadi tempat buangan sisa kimia sehingga menyebabkan loji kumbahan IWK di situ tercemar.

Berita penuh : https://selangorkini.my/2020/11/dua-ditahan-bawah-sosma-kes-jenayah-terancang-pertama-pencemar-air/