Mahkamah tolak permohonan Azmin batal saman 10 pengundi Gombak

Mahkamah tolak permohonan Azmin batal saman 10 pengundi Gombak

Mahkamah tolak permohonan Azmin batalkan saman 10 pengundi Gombak.Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali gagal membatalkan tuntutan yang dikemukakan oleh 10 pengundi kawasan berkenaan terhadapnya kerana didakwa melanggar kewajipan fidusiarinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir menolak permohonan Azmin untuk membatalkan tuntutan berkenaan dengan alasan ada isu yang perlu diadili sebelum perbicaraan penuh. Mahkamah akan meneruskan perbicaraan kes dari 7 hingga 10 Jun 2022.

Mahkamah tolak permohonan Azmin

Azmin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, diwakili oleh peguam Nizamuddin Abdul Hamid, sementara Yohendra Nadarajan dan Surendra Ananth mewakili pengundi.

Kumpulan pengundi tersebut dalam tuntutan mereka berkata, Azmin mempunyai kewajipan fidusiari dan merupakan pemegang amanah bagi kawasan pilihan rayanya itu.

Mereka mempertikaikan bahawa Azmin meninggalkan PKR dan mengatur “Langkah Sheraton” untuk kepentingan diri dan kemajuan politiknya sendiri, bukan sebagai manfaat bagi konstituennya.

Kata mereka, Azmin tidak perlu mengenali setiap kawasan pilihan rayanya untuk beliau menjalankan kewajipan fidusiarinya kerana mereka memilihnya berdasarkan prinsip bahawa seorang Ahli Parlimen berkhidmat untuk semua orang.

Pengundi-pengundi itu juga berkata, “Langkah Sheraton” tidak membawa sebarang manfaat kepada kawasan Gombak.

Mereka turut berasa kecewa dengan tindakan Azmin yang menipu dan menyalahi undang-undang dan memohon deklarasi bahawa beliau melanggar sumpah jawatannya untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Akhtar turut menolak permohonan pengundi untuk menghapus perenggan tertentu dalam kenyataan bela oleh Azmin yang berkait tuduhan salah laku seksual Anwar Ibrahim dan amalan nepotisme dalam PKR.

Azmin, bekas timbalan presiden PKR, dalam pembelaannya mendakwa tingkah laku seksual Anwar adalah antara punca beliau meninggalkan parti dan kemudian bergabung dengan Bersatu.

Azmin berkata, beliau akan mengemukakan bahan bukti yang tidak pernah diketahui umum semasa perbicaraan ketika saman itu didengar.

Katanya lagi, beliau memutuskan untuk keluar parti setelah membuat kesimpulan bahawa Anwar tidak layak memimpin PKR mahupun menjadi perdana menteri.
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/30/mahkamah-tolak-permohonan-azmin-batal-tuntutan-pengundi-gombak/

BACA JUGA : Ucapan Hari Bapa Azmin di media sosial undang kecaman netizen