Terkini !!! Mahkamah benarkan Iswardy diikat jamin RM5,000

Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.

Berdasarkan kertas pertuduhan, beliau yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini didakwa mengeluarkan kenyataan berunsurkan penghinaan itu menerusi Facebook Iswardy Morni Official pada 29 Mei 2021 pada jam lebih kurang 3 petang.

Perbuatan itu tertakluk di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang mana sekiranya disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Mahyun Talib kemudian membenarkan Iswardy diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga mengarahkannya agar dia tidak mengeluarkan kenyataan berunsurkan hasutan, menyakitkan hati, jelek dan boleh menimbulkan kegusaran awam.

Sekiranya arahan tersebut dilanggar, mahkamah akan membatalkan jaminan terhadap Iswardy.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memohon mahkamah untuk menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000.

Tarikh sebutan kes adalah pada 2 Ogos 2021.

Pada 29 Mei lalu, Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak berkenaan ditahan sejurus selepas memuat naik video secara langsung bertajuk ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun’.

Dalam video tersebut, Iswardy mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Al-Sultan Abdullah dan mendakwa Yang di-Pertuan Agong seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Berita Penuh : http://asamboi.net/terkini-ahli-pkr-iswardy-tidak-mengaku-salah-hina-agong/