Terkini !!! Kerajaan kaji cadangan kenakan kompaun kepada yang tidak hadir suntikan vaksin

Terkini !!! Kerajaan kaji cadangan kenakan kompaun kepada yang tidak hadir suntikan vaksin

Cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagaimanapun langkah mengenakan penalti terbabit dan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, dilihat hanya boleh diambil selepas pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai saluran termasuk MySejahtera dan secara bersemuka, dilaksanakan sepenuhnya.

Ketika ini, katanya, maklumat perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa vaksin itu diberikan secara percuma melalui pelaksanaan berfasa.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan melalui JKJAV sudah mempunyai jadual penghantaran vaksin daripada syarikat pengeluar terbabit.

“Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab memperoleh vaksin dan kita ada jadual penghantaran daripada calon vaksin yang kita sudah ‘procure’.

“Ia membabitkan vaksin AstraZeneca daripada kemudahan COVAX, Pfizer daripada kemudahan pembekalan di Belgium dan syarikat itu sendiri, serta Sinovax melalui Pharmaniaga secara ‘fill and finish’.

“Kita juga sedang menunggu pembekalan vaksin daripada Cansino, Gamaleya dan Sputnik V.

“Kita yakin pemberian vaksin akan lebih rancak apabila mendapat lebih banyak bekalan bermula Jun serta Julai depan seperti diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

BH hari ini melaporkan Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, serta Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, mencadangkan supaya individu yang tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin tanpa alasan munasabah, dikenakan penalti atau kompaun.

Jacob dipetik berkata, tindakan golongan itu secara langsung mengganggu kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sekali gus menyebabkan negara lewat mencapai sasaran imuniti kelompok.

Dr Sharifa Ezat pula mengesyorkan penalti bermula dari RM200 dikenakan bagi setiap kali gagal menghadiri janji temu di PPV.

Berdasarkan maklumat dilaporkan sebelum ini, bilangan individu tidak menghadiri janji temu di PPV membabitkan beberapa negeri telah mencecah jumlah berpuluh ribu.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/821333/cadangan-kompaun-penalti-tidak-hadir-suntik-vaksin-diteliti