Terkini !!! Agong titah semua pihak bekerjasama setelah PM baru dilantik kelak

Agong

Agong titah semua pihak bekerjasama setelah PM baru dilantik kelak. Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan menerima nmenghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara, semalam
(17 Ogos, 2021).

Dengan titah Seri Paduka Baginda, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah disembah silakan turut berangkat hadir semasa sesi menghadap tersebut atas kapasiti Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Turut hadir dalam sesi menghadap tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang diPertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara.

Sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit bermula dari jam 2.30 petang.

Adalah dimaklumkan juga bahawa terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap secara maya pada jam 1.40 petang komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Agong

Seri Paduka Baginda telah menzahirkan bahawa Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap semalam bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jawatan Jemaah Menteri yang telah berkuat kuasa pada 16 Ogos, 2021.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan titah akan tujuan utama sesi menghadap ini adalah untuk menyatakan bahawa:

• Sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan
hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

• Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak
berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu
kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19

• Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi
memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi
keutamaan.

• Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan
ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang
terbaik kepada rakyat.

• Majoriti ‘frontliners’ berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit
COVID-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga
berada pada situasi yang membimbangkan.

• Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek
pembangunan, program menangani pandemik COVID-19, termasuk program
vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, dan program pemulihan negara
perlu dikekalkan.

Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu. Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam hal ini, Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat).

Sumber:

BACA: Pilih TPM gagal ganti PM gagal? Satu kesilapan besar

CATEGORIES