Terengganu sedia untuk laksana hudud sepenuhnya, kata exco

Kerajaan Terengganu bersedia untuk melaksanakan sepenuhnya hukum hudud sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) 355 diluluskan di Parlimen.

Exco Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu tidak mustahil untuk dilaksanakan memandangkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah diwartakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 2002.

Jelasnya, kerajaan negeri juga dalam proses menaiktaraf Mahkamah Syariah di seluruh negeri agar lebih kondusif untuk pelaksanaan hukuman itu pada masa akan datang.

Terengganu sedia untuk laksana hudud sepenuhnya, kata exco

Satiful Bahri

“Terengganu kini dalam persiapan ke arah itu dan Mahkamah Syariah juga bersedia pada bila-bila masa untuk membuat atau melaksanakan apa yang akan diperintahkan atau yang akan diluluskan berdasarkan bidang kuasa peruntukan undang-undang yang diberikan.

“Beberapa bengkel telah diadakan melibatkan bahagian penguatkuasaan, jabatan pendakwaan dan hakim Mahkamah Syariah bagi meneliti penambahbaikan terhadap hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang jenayah syariah itu.

“Ia sebagai persediaan ke arah pelaksanaan hukum hudud antaranya mengkaji semula peruntukan-peruntukan sedia ada untuk disesuaikan dengan keadaan semasa memandangkan tempoh enakmen yang diwartakan telah hampir 20 tahun lalu,” katanya ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Menurut Satiful, setakat ini sebahagian daripada hukuman jenayah syariah itu telah dilaksanakan mengikut bidang kuasa atau ruang peruntukan undang-undang sedia ada seperti hukuman bagi jenayah takzir.

“Kita bukan tidak laksana hudud, sebahagian daripada hukuman ini telah diperkasakan bagi kesalahan jenayah takzir. Yang belum dilaksanakan ialah Hudud dan Qisas.

“Setakat ini kita telah menggunapakai hukuman di bawah kesalahan jenayah takzir iaitu 3,5,6 melibatkan peruntukan hukuman tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan.

“Bagi kesalahan melibatkan Hudud dan Qisas, ada ruang lingkup yang perlu diperhalusi lagi dan kita tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi. Sebab itulah kita tunggu kelulusan RUU 355.

“Jika ia diluluskan, Terengganu akan menjadi negeri pertama yang akan melaksanakan sepenuhnya tuntutan syarak ini keatas 96 peratus masyarakat Islam di negeri ini,” katanya.

Untuk rekod, RUU 355 terhasil apabila Abdul Hadi mengemukakan usul persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi meningkatkan bidang kuasa hukuman Mahkamah Syariah terhadap kesalahan di bawah jenayah syariah.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/161589/BERITA/Nasional/Terengganu-sedia-laksana-sepenuhnya-hukum-hudud

BACA JUGA : Pindaan RUU 355 baru peringkat draf, banyak proses lagi perlu dilalui – PM