Terengganu cadang buka kaunter beri vaksin di Masjid, tapi tak cukup kakitangan

Kerajaan Terengganu berhasrat membuka kaunter vaksin Covid-19 di masjid terpilih bagi memudahkan penerima mendapatkan suntikan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Alias Razak, berkata pihaknya sedang berusaha melaksanakannya di sebuah masjid bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun, pihaknya perlu mengatasi masalah kekangan sumber manusia daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merealisasikan cadangan itu.

“Ketika ini, Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) sendiri pun tidak cukup (kakitangan) kerana banyak sangat kerja, termasuk menjaga pusat kuarantin Covid-19, hospital serta wad.

“Itu kekangan dihadapi, melainkan kita mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Alias berkata, setakat ini lebih 100 klinik swasta di negeri itu telah ditawarkan untuk menjadi ejen pemberian suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, hanya empat klinik setakat ini sudah bersetuju memberikan kerjasama dan menawarkan perkhidmatan tersebut.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/02/terengganu-mahu-buka-kaunter-vaksin-di-masjid-kata-exco/