Terengganu akan bincang untuk adakan sidang DUN

Terengganu bersedia mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sedang mencari kaedah terbaik dalam melaksanakannya.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, perbincangan mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu makluman Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan berhubung kaedah terbaik bagi melaksanakan sidang berkenaan.

“Apabila kita sudah mendapat kepastian daripada MKN dan Kementerian Kesihatan, barulah kita akan menetapkan tarikh yang sesuai.

“Bagaimanapun, dalam masa terdekat saya akan mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali mengenai perkara itu,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Kuala Berang di Terengganu hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat.

Jumaat lepas beberapa negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah memaklumkan akan membuat permohonan bagi mengadakan sidang DUN manakala Perlis dijadual kembali bersidang selama tiga hari bermula 24 Ogos.

Pada Sabtu lepas, sidang DUN Melaka dilaporkan akan diadakan selewat-lewatnya pertengahan bulan depan selepas tarikh sebenar pelaksanaannya digazetkan.

Kelantan dilaporkan hanya akan bersidang selepas Parlimen mengumumkan tarikh persidangannya, kata Yang Dipertuanya Abdullah Ya’kub.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/24/terengganu-sedia-laksanakan-sidang-dun-perbincangan-dalam-waktu-terdekat-kata-mb/