Tempat duduk beberapa ahli parlimen berubah di Dewan Rakyat

Oleh MHDAILY

Berlaku perubahan tempat duduk dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan susulan pembentukan kerajaan baharu.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Ahli Parlimen Pagoh duduk bersebelahan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan sebaris dengan kerusi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk sementara Najib adalah Ahli Parlimen Pekan.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Tempat duduk beberapa ahli parlimen berubah di Dewan Rakyat

Foto ihsan Portal Rasmi Parlimen Malaysia

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, satu-satunya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang duduk bersama blok pembangkang atau blok E dalam pelan kedudukan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, menyertai Ahli Parlimen bebas, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta DAP.

Turut berpindah tempat duduk, beberapa Ahli Parlimen yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, antaranya Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Turut berubah kedudukan ke tempat duduk penyokong kerajaan dari blok menteri sebelum ini adalah bekas menteri ketika Kabinet Muhyiddin iaitu Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Kedudukan blok menteri juga menyaksikan penyertaan seorang wakil senator iaitu Senator Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggantikan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kerajaan baharu dibentuk selepas Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lalu, sekali gus menyaksikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih bagi mengisi kekosongan jawatan itu dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia kesembilan di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Pada 26 Ogos lalu, semua barisan menteri yang dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/863294/dewan-rakyat-tempat-duduk-beberapa-ahli-parlimen-berubah

BACA JUGA : 3 Isu panas dijangka bakal hangatkan sesi parlimen hari ini