Teksi dan E-Hailing boleh rentas daerah, negeri – Menteri

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata tiada halangan untuk teksi, kereta sewa dan perkhidmatan e-hailing merentas daerah atau negeri, tetapi pemandu perlu memastikan penumpang mereka mendapat kelulusan perjalanan yang diperlukan.

Beliau berkata, kementerian menerima aduan pemandu ditahan dan disoal pihak berkuasa di sekatan jalan ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar penumpang merentas sempadan daerah atau negeri.

Oleh itu, katanya, pemandu perlu membawa salinan “soft copy” atau “hard copy” dokumen berkaitan untuk membuktikan penumpang mereka mempunyai kelulusan perjalanan, yang boleh ditunjukkan kepada pihak berkuasa selepas menghantar penumpang mereka.

Beliau dalam kenyataan berkata, ini untuk mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab cuba melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan merentas sempadan.

“Sepanjang tempoh PKP ini, kenderaan teksi, kereta sewa dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepenuhnya berdasarkan keperluan perkhidmatan ‘essential’.

“Mereka juga dibenarkan merentas daerah dan sempadan negeri sebagaimana kebenaran di bawah kenderaan perdagangan,” katanya sambil mengingatkan pemandu untuk mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara tanpa sebarang kompromi. – FMT