“Takpe, 17 tahun saya sabar, Saya boleh sabar lagi, Kalau Tuhan nak ambil semula, kenapa Tuhan bagi?”

“Takpe, 17 tahun saya sabar. Saya boleh sabar lagi. Kalau Tuhan nak ambil semula, kenapa Tuhan bagi?”Bulan lepas; saya ada satu patient yang sudah berkahwin selama 17 tahun dan datang untuk sahkan kehamilan.

Kedatangan mereka dengan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun. Kanak-kanak tersebut rupanya anak angkat pasangan ini.

Usia patient baru mencecah 37 tahun. Kiranya, awal juga mereka berkahwin; lebih kurang di usia 20 tahun.

Hari itu; wajah mereka berdualah yang paling ‘bercahaya’. Saya ni boleh tumpang senyum pandang wajah suami isteri yang sedang gembira ini.

"Takpe, 17 tahun saya sabar, Saya boleh sabar lagi, Kalau Tuhan nak ambil semula, kenapa Tuhan bagi?"

Celoteh pesakit ini menghiburkan hati saya. Orangnya ceria, bertambah ceria bila nampak kantung baby dalam rahim. Dia genggam tangan saya, dia jerit panggil suaminya dan dia menangis tanpa suara. Saya tahu; tangisan itu tangisan kegembiraan dan mungkin jua tangisan kesyukuran.

Tapi; begitulah kita sebagai hamba. Bukan semua yang kita rasa baik untuk kita, adalah milik kita. Minggu lepas mereka datang lagi, wajah yang masih gembira. Cuma kali ni; katanya ada sedikit pendarahan (spotting). Bila buat scan ultrasound; baby tidak membesar daripada scan yang lepas. Saiz kantung baby sama, tidak ada perubahan.

Sukarnya hanya Tuhan sahaja yang tahu; bagaimanalah ayat terbaik yang boleh saya khabarkan kepada pasangan ini. Saya tarik nafas dan saya sebut; “baby tak membesar dari scan kita yang lepas”. Bilik saya sunyi, sepi. Tiada suara dan tiada esak tangis. Kemudian panjang lebar saya terangkan tentang segala kemungkinan.

Di akhir noktah penerangan saya, pesakit ini tersenyum dan sekali lagi dia genggam tangan saya. The best thing yang saya suka, dia sebut pada saya; “Takpe, 17 tahun saya sabar. Saya boleh sabar lagi.”

Masya Allah, saya rasa wanita ini benar-benar redha, benar-benar ikhlas dengan ujian yang Allah beri. Saya puji beliau dan beliau jawab pada saya; “ 17 tahun saya tak pernah putus harapan. Kalau Tuhan nak ambil semula baby ni, kenapa Tuhan bagi?” Satu soalan yang tidak ada jawapan. Jeda.

Saya menulis detail di sekeping kertas sambil otak saya ligat berfikir dan hati saya berdoa, semoga wanita ini tidak bertemu putus asa dan semoga beliau senantiasa bersangka baik pada Tuhan.

Selepas mereka berdua keluar, beberapa saat kemudian suami pesakit tadi masuk semula berjumpa saya. Dia minta maaf bagi pihak isterinya jika kata-kata isterinya kedengaran biadap dan tidak sedap didengar. SUbhanallah, baiknya sang suami. Saya jelaskan saya memahami keadaan isterinya yang sedang bercelaru nak hadam berita yang kurang baik ini dan saya ok.

Suaminya sempat bercerita; “7 tahun lepas, isteri saya tu carikan bakal madu untuk dia. Hampir-hampir saya kawen. Tapi saya takboleh.

Takboleh saya bayangkan saya tidur sebelah orang lain. Takpelah takde anak. Asalkan isteri saya ada selalu dengan saya. Tu saya tak jadi kawen, tukar plan ambil anak angkat. Ingatkan tahun ni ada berita gembira, tapi Tuhan nak uji kami lagi agaknya”.

Dia bercerita sambil berdiri di muka pintu bilik ultrasound, wajahnya manis dan saya senang mendengar ceritanya sebelum dia sekali lagi minta maaf dan berundur diri.

Allah bless her with a good husband. Allah rezekikannya dengan seorang suami yang baik. Semoga Allah panjangkan jodoh mereka, jaga rumahtangga mereka dan bahagiakan mereka sampai syurga; dengan zuriat mahupun tanpa zuriat.

Saya percaya, senyuman dan hati yang kuat yang ada pada seorang isteri, hasil didikan dari seorang suami yang baik. Sabarnya selama 17 tahun; tentu bukan sendirian. Pasti ditemani seorang suami setia yang tidak membiarkan isteri pedih bersendiri.

Begitulah kehidupan.

Selama 17 tahun mereka hidup dalam keadaan berharap. Bukan situasi yang mudah.
Hampir bermadu kasih, tapi tak jadi dek kerana hati suami yang setia.
Tuhan; Kau jagalah mereka dalam kasih sayangMu.

Samada Tuhan rezekikan mereka zuriat mahupun tidak; saya berharap suami isteri tersebut hidup bahagia dengan apa yang mereka ada. Semoga kehadiran anak angkat juga; menjadi penghibur hati dan merawat luka yang mungkin ada.

Pesan pula untuk mereka yang Allah mudahkan rezeki zuriat; janganlah diambil ringan tentang amanah menjaga dan mendidik zuriat kalian. Ianya adalah amanah; yang akan satu-persatu dipersoalkan. Jaga anak-anak dengan seluruh kudrat kalian, didiklah mereka dengan sifat ketuhanan dan doakanlah mereka sepanjang jalan kehidupan.

Pada saya; 17 tahun itu lama. Sungguh lama. Kami PJJ nak masuk dua tahun; pun saya sudah rasa perit yang kadang-kadang mengundang air mata. Apatah lagi ujian penantian selama 17 tahun. Kiranya; saya ni belum cukup bersabar. Belum ikhlas dalam ujian Tuhan 😭. Semoga Allah berikan saya hidayahNya, untuk saya jadi hamba yang redha. Amiin.

Tuhan; kurniakanlah kami kesabaran para Nabi. Supaya kami tidak keluh-kesah dan gopoh-gapah dalam menunggu doa kami diterima. Refleksi untuk diri saya sendiri, yang saya kongsikan untuk hikmah bersama. Semoga ada sedikit tauladan.

BACA: Dah jadi banduan akhir pun ada selera nak makan, ini senarai makanan yang diminta no.7 tu paling tak masuk akal!

Kerana terlalu lapar wanita ini dibaham kucing sampai mati, ini kisahnya yang buat ramai nak tahu