Takiyuddin dakwa hubungan PAS – Bersatu bermatlamat sama macam Muafakat Nasional

Takiyuddin dakwa hubungan PAS – Bersatu bermatlamat sama macam Muafakat Nasional

PAS berpendapat hubungan yang dibina parti itu bersama Bersatu adalah sama dengan prinsip asas mereka dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kerjasama mereka dalam Perikatan Nasional bertujuan untuk menyatukan ummah – selaras dengan apa yang diusahakan dalam MN.

“Hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN (Perikatan Nasional) adalah seperti terzahir dalam prinsip asas MN – kerjasama ke arah bina penyatuan ummah – dimulai penyatuan kalangan Melayu-Islam, diikuti bumiputra dan bukan Islam tidak ekstrem serta seluruh rakyat Malaysia yang cintai perpaduan dan perdamaian,” katanya malam tadi.

Takiyuddin yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri membuat kenyatan itu ketika hubungan di antara PAS dan Umno dalam MN terus dilihat terumbang-ambing.

Ia kelihatan semakin ketara apabila Umno secara menyindir dan berkias mendesak agar PAS mengetepikan Bersatu.

Umno juga membuat ketetapan boleh mengarahkan ahli-ahli parlimen mereka yang menjadi menteri agar meletak jawatan pada bila-bila masa dalam langkah yang dilihat bakal meruntuhkan kerajaan PN.

Di sebalik gesaan daripada Umno, PAS pula berkeras untuk tetap bersama Bersatu dengan alasan mahu membina penyatuan ummah.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri membuat kenyataan parti itu mahu menjalinkan kerjasama dengan semua pihak namun mestilah dilakukan mengikut konsep yang mereka tentukan.

Untuk menyatukan ummah, kata duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu, mestilah tidak membabitkan pihak yang ekstrem atau liberal.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menyatakan dengan jelas siapa pihak dianggap PAS sebagai ekstrem dan liberal itu.

“Yang ekstrem itu kamu nilai sendiri siapa ekstrem, siapa liberal,” katanya.

Untuk rekod melalui MN kedua-dua parti menandatangani piagam yang antara lain menyatakan agenda mereka ialah penyatuan ummah “bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.”

PAS dan Umno berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menjamin Islam sebagai agama persekutuan.

Kedua-dua parti juga berjanji memperkukuh MN melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/569595?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook